Program Kepimpinan Wanita Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Bentuk Pemimpin Wanita yang Kompeten


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Oktober 2018 – Program Kepimpinan Wanita Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang diadakan baru-baru ini telah membincangkan isu-isu berkaitan kepimpinan wanita di IPT termasuklah dalam melahirkan pemimpin wanita yang kompeten.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata, program itu dirangka untuk mempersiapsiagakan wanita dalam mencapai 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan khususnya di IPT.

“Program ini dibentuk bagi mengungguli gagasan untuk melahirkan pemimpin wanita yang kompeten, efisien, berintegriti dan berdaya menguasai teknologi selaras dengan Revolusi Industri ke-4.

“Ini adalah siri ke-2 program ini dilaksanakan. Saya berharap program ini dapat mewujudkan jaringan kepimpinan wanita dan meningkatkan kemahiran berkomunikasi yang efektif sebagai seorang pemimpin,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Program Kepimpinan Wanita Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia, baru-baru ini.

Katanya, beliau percaya program itu mampu membentuk pemimpin wanita yang kompeten dalam menguasai gaya dan model kepimpinan yang sesuai.

“Kemahiran ini tidak hanya penting untuk diri sendiri semata-mata, tetapi juga dapat menguasai penggunaan teknologi dalam kepimpinan dan pentadbiran organisasi,” jelasnya.

Program yang berfokus kepada kepimpinan wanita itu menawarkan pensijilan Master’s Certificate in Women Leadership yang akan memberi peluang kepada pemimpin pelbagai peringkat untuk mendapat sijil kemahiran kepimpinan.