Program Kepimpinan Wanita IPT Malaysia Sasar 30 Peratus Wanita dalam Pembuat Keputusan di IPT


Oleh Inaara Aznan

Foto Izwan Azman

BANGI, 10 December 2018 – Program Kepimpinan Wanita Institusi Pengajian Tinggi Malaysia telah mensasarkan 30 peratus wanita dalam pembuat keputusan khususnya di peringat Institusi Pengajian Tinggi.

Program yang telah diadakan dua fasa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dirangka bagi bagi mengungguli gagasan pemimpin wanita demi melahirkan seorang pemimpin yang kompeten, efisien dan berintegriti.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata, program tersebut dapat mewujudkan jaringan kepada barisan pemimpin wanita serta meningkatkan kemahiran komunikasi yang efektif sebagai seorang pemimpin.

“Sememangnya menjadi matlamat penganjuran program ini untuk membentuk pemimpin wanita yang kompeten dalam menguasai gaya dan model kepimpinan yang sesuai untuk diri sendiri serta dapat menguasai penggunaan teknologi dalam kepimpinan dan pentadbiran organisasi,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutup Program Kepimpinan Wanita Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Fasa 2 baru-baru ini.

Sementara itu, seorang peserta dari Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr Rachel berkata, sudah tiba masanya untuk wanita bergerak lebih maju dan mempunyai kemahiran bagi menangani cabaran cabaran di dalam apa-apa industri pekerjaan.

“Dengan adanya program ini, para wanita lebih semangat untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

Objektif program Kepimpinan Wanita Institusi Pengajian Tinggi Malaysia ini adalah untuk memperkenalkan dan melatih pemimpin wanita kepada ilmu berkaitan kepimpinan, selain meningkatkan peluang kepada wanita untuk menjadi pemimpin dalam mendepani Revolusi Industri ke-4.

Program itu telah berlangsung sebanyak 2 Fasa iaitu fasa pertama dengan melibatkan kakitangan kerajaan di mana seramai 80 orang peserta telah mengikuti latihan ini dan fasa ke 2 melibatkan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Institusi Pengajian Tinggi.

Peserta program ini terdiri daripada kakitangan akademik dan pentadbiran dari Universiti Awam (UA) seluruh Malaysia, dan pemimpin Persatuan dan Kelab pelajar IPT.