Program Sekolahku Universitiku Pupuk Minat Bidang Sains dan Teknologi


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Izwan Azman

BANGI, 5 Januari 2023 Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Program Sekolahku Universitiku bagi pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Bangi bagi memupuk minat terhadap bidang sains dan teknologi dalam kalangan peserta.

Program ini bertujuan untuk mendidik peserta tentang ilmu berasaskan kimia dan memupuk kemahiran insaniah melalui aktiviti pembelajaran yang inovatif.

Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (I-KOM), Dr. Aida Hanim A. Hamid yang hadir merasmikan program ini berkata program Sekolahku Universitiku ini merupakan sebuah progam translasi Ilmu yang dibawakan khas dari peringkat Universiti ke peringkat sekolah.

“Saya melihat program berupa translasi ilmu ini sebagai satu perkara yang mendatangkan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat kerana ia dapat memberikan peluang bagi murid untuk merasai pengalaman pembelajaran yang berbeza dari norma kebiasaan.

“Selain itu, hasil pembelajaran juga dapat dipertingkatkan melalui pemahaman yang lebih mendalam serta pembelajaran isu yang lebih berfokus oleh para siswazah yang berada di peringkat pengajian tinggi kepada murid-murid yang berada di peringkat pengajian rendah.

“Apabila matlamat ini direalisasikan, saya percaya hubungan yang dinamik antara institusi pendidikan dapat dibina dan mampu untuk memberi impak yang positif kepada murid-murid, para mahasiswa serta komuniti.

“Impak ini tidak hilang setelah program ini selesai dijalankan malah akan terus berkekalan hingga ke masa hadapan,” katanya.

Beliau juga berharap agar berharap lebih banyak program berupa outreach seperti ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang.

Antara pengisian program adalah pameran interaktif dan eksperimen sains yang menarik minat peserta bagi memupuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap subjek sains dan teknologi.

Turut hadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bangi Puan Nora Hussein, Timbalan Pengarah (Perkhidmatan Inklusif) Hal Ehwal Pelajar, Dr Norwina Akmal Anuar, Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat FST, Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Hariri Arifin dan Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni FST, ChM. Dr. Nur Hasyareeda Hassan.