Program TVET Fellowship Buka Peluang Bagi Pengajar JPK Jalankan Penyelidikan di UKM


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Jun 2022 – Seramai lima orang tenaga pengajar dari Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menerima Tawaran Program TVET Fellowship 2022 bagi menjalankan penyelidikan secara sepenuh masa.

Dua orang pengajar akan ditempatkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi bidang sains sosial dan tiga orang pengajar akan ditempatkan di Universiti Teknologi MARA bagi bidang sains dan teknologi teknikal.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata pihak UKM berperanan dalam pengurusan dan pelaksanaan latihan fellowship TVET serta penyelarasan bagi penempatan para pengajar yang berjaya mengikuti program ini.

“Menerusi program ini, UKM menjangkakan para pengajar berpeluang menjalankan penyelidikan secara separuh masa bersama penyelia, memperoleh pengalaman sebenar penyelidikan di institusi penyelidikan, meluaskan rangkaian penyelidikan dengan pakar bidang, mendapat kefahaman mengenai amalan dan strategi pengurusan penyelidikan yang efektif.

“Saya mengharapkan output bagi program ini adalah dalam bentuk penerbitan bersama dan pengiktirafan serta laporan yang mampu menyumbang bukan sahaja kepada institusi, tetapi dapat memberi impak kepada masyarakat, industri, agensi kerajaan dan negara,” katanya.

Tambahnya, kerjasama yang diselaraskan oleh Pusat IDEA-UKM ini bertujuan memperkasa program latihan kemahiran negara melalui pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (National Occupational Skills Standard).

“Ia juga bermatlamat untuk mengembangkan pelaksanaan Sistem Persijilan Kemahiran Malaysia, pembangunan tenaga pengajar latihan kemahiran dan perancangan serta mengenal pasti pihak yang berpotensi untuk mewujudkan kerjasama dalam latihan kemahiran,” jelasnya.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, Ts. Dr. Mohamad Sulaiman dan Pengarah Pusat IDEA-UKM, Prof. Dr. Jamia Azdina Jamal.