PTSL Cipta Pembersih Mikrofilem Mudah Alih Pertama Di Malaysia.


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 5 April 2019 – Portable Micro Clean (PMC) yang dicipta oleh pasukan kakitangan dari Perpustakaan Tun Seri Lanang (PTSL) telah menjuarai Konvensyen Inovasi & Kreativiti, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) ke-23 dengan menghasilkan inovasi proses mencuci mikrofilem yang pertama di Malaysia.

Produk inovasi yang dicipta oleh Kumpulan SAVE dari Unit Pemeliharaan dan Pendigitan, PTSL merupakan mesin untuk mencuci mikrofilem yang berbau dan bermasalah serta mempercepatkan proses penyelenggaraan bahan mikrofilem selain dapat mengawal mikrofilem daripada rosak kritikal.

Menurut Ketua Kumpulan SAVE, Mohd Hanif Zainal, PMC lebih mesra pengguna dan mudah diselenggara serta menjimatkan kos dari membayar khidmat pembekal luar untuk mencuci mikrofilem.

“Penciptaan PMC ini mengambil masa setahun dan target pasaran adalah pembekal dan universiti awam.

“Hasil inovasi ini lebih ergonamik dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih selamat selain dapat meningkatkan kecekapan mencuci mikrofilem dari tiga gulung hingga 24 gulung selama satu jam,” katanya.

Konvensyen KIK adalah medium pengiktirafan dan penghargaan kepada warga UKM untuk mempersembahkan hasil inovasi dan kreativiti yang telah diusahakan sebelum ke peringkat konvensyen lebih tinggi seperti di MPC dan universiti awam.

Dalam majlis tersebut, turut diadakan juga Konvensyen Lean@UKM yang memberi tumpuan kepada mengenal pasti dan menghapuskan aktiviti yang tidak memberi nilai tambah kepada pelanggan dalam mana-mana proses.

Konvensyen Lean@UKM yang pertama kali diadakan itu telah mengangkat Kumpulan Protag dari Unit Katalog PTSL sebagai Johan.

Kumpulan Protag hadir dengan idea mempercepatkan masa memproses buku bermasalah kerana terdapat lambakan buku bermasalah yang masih belum diproses di stor unit dan juga di rak Koleksi Am, PTSL.

Fasilitator Kumpulan Protag, Hayatul-Azlah Ghazali berkata, keadaan rak padat dengan buku baharu bercampur dengan buku bermasalah masih banyak tidak dikeluarkan dari rak.

“Selain itu, buku bermasalah seperti tiada label dilihat berlambak di stor kerana staf lebih mengutamakan buku yang dibeli dan dihadiahkan oleh pihak luar.

“Dengan cara bekerja ini, sasaran masa memproses buku bermasalah dari 99.23 jam (empat hari) kepada 72 jam (tiga hari),” katanya.