Puasa Dapat Kurangkan Proses Penuaan – Prof Dr Suzana
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 4 Dis 2017 – Berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis selain mengamalkan pemakanan yang seimbang dapat melengahkan proses penuan, kata Pakar Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan, Prof Dr Suzana Shahar.
Beliau berkata pengambilan pelbagai jenis makanan secara berlebihan, terutamanya makanan yang tinggi ketumpatan nutrien boleh dianggap sebagai membazir kepada tubuh dan memudaratkan.
“Ia mengundang kepada gejala obesiti dan penyakit kronik. Penyelesaian kepada permasalahan obesiti tentunya terletak kepada makanan dan tabiat makan,” katanya.
Selain itu, katanya kurang mengambil buah-buahan dan jus serta jarang berpuasa juga turut memainkan peranan penting dalam proses penuaan.
“Bagi mengurangkan proses penuaan, warga emas yang beragama Islam digalakkan berpuasa sunat Isnin dan Khamis kerana ia berupaya mengurangkan emosi tidak baik dalam diri.
“Sekiranya amalam itu (puasa Isnin dan Khamis) diteruskan selama tiga bulan, tabiat berkenaan dapat mengurangkan berat badan selain menurunkan peratusan lemak tubuh, tekanan darah dan paras lipid darah,” jelasnya.
Beliau berkata amalan berpuasa yang digabungkan bersama diet pengehadan diri (FRC) dapat mengurangkan antara 300 hingga 500 kalori pada hari biasa.
“Pengurangan kerosakan DNA akan berkurangan jika mereka kerap berpuasa berbanding yang tidak berpuasa.
“Adalah penting bagi golongan pertengahan usia untuk mencapai berat badan sihat iaitu berat badan ideal sebagai satu faktor ke arah penuaan sihat,” terangnya.
Prof Dr Suzana berkata diet superfood yang merangkumi sumber protein daripada ikan serta pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang banyak adalah penting bagi mengekalkan kesihatan warga emas.
“Ikan tempatan seperti kembung dan cencaru mengandungi asid lemak omega, malah ia lebih tinggi berbanding susu omega yang dijual di pasaran.
Prof Dr Suzana turut menjelaskan bahawa memasak menggunakan kaedah memanggang dan berkuah seperti singgang, asam pedas atau sup dapat mengekalkan kandungan omega berbanding menggoreng.
“Superfood lain adalah ulam-ulaman seperti daun kesom, ulam raja dan daun selom kaya dengan polifenol. Daun selom meningkatkan daya ingatan dan fungsi sosial warga emas yang mengalami gangguan emosi,” jelasnya.