Pusat GENIUS@Pintar Negara Terima Akreditasi Antarabangsa


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 3 Jun 2022 – Pusat GENIUS@Pintar Negara (PGPN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima akreditasi dari COGNIA, Amerika Syarikat, yang merupakan sebuah badan akreditasi yang berpengalaman lebih 125 tahun dalam proses akreditasi sekolah seluruh dunia.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohammad Kassim berkata dengan kewujudan rangka kerja kurikulum berbakat unik yang pertama di Malaysia, akreditasi daripada COGNIA penting bagi memastikan masa depan pelajar berbakat negara, melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi khususnya ke universiti terkemuka dunia.

“Selain itu, akreditasi ini juga akan dapat membuka lebih peluang kepada PGPN UKM untuk berkolaborasi dengan institusi-institusi pendidikan lain di dalam dan luar negara selaras dengan Gelombang Ketiga Pendidikan Pintar Berbakat dalam Pelan Pendidikan Negara ke arah memperluaskan program ke peringkat kebangsaan dan sejajar pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 ke arah Pengantarabangsaan Pengajian Tinggi,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sijil Akreditasi dan Majlis Menandatangani Letter of Intent (LoI) antara PGPN dan School for e-education Research & Innovation (SERI), India, di sini.

Beliau berkata penyerahan sijil akreditasi COGNIA kepada PGPN dan proses tandatangan LoI itu merupakan aspirasi Pusat GENIUS@Pintar Negara untuk menjadi sebahagian dari pasukan akreditasi COGNIA yang akan menjadi pusat rujukan akreditasi untuk sekolah-sekolah lain di Malaysia dan negara kejiranan.

“Saya harap melalui LoI dan akreditasi ini, PGPN UKM akan mencapai kejayaan yang cemerlang dan diiktiraf di seluruh dunia sebagai salah satu pusat pendidikan berbakat terbaik.

“Melalui kerjasama ini, PGPN UKM akan menjadi sumber utama pendidikan berbakat negara, disamping menjadi langkah pertama daripada banyak langkah ke arah kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Sijil akreditasi itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Akreditasi COGNIA, Dr. Rob Leveille kepada Pusat GENIUS@Pintar Negara, manakala LoI pula ditandatangani oleh Pengarah PGPN, Prof Madya Dr. Rorlinda Yusof dan Pengarah Eksekutif SERI, Sharad Bhatia.