Raja Permaisuri Agong Zahir Ucapan Terima Kasih kepada Pekerja Wanita
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 25 Ogos 2021 – Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan oleh pekerja wanita di negara ini terutama petugas barisan hadapan dalam menangani Covid-19.
Titah Seri Paduka, petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.
“Saya memandang berat tajuk forum sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19. Amat tepat masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara, khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah Tunku Hajah Azizah.
Seri Paduka bertitah demikian semasa menyampaikan ucapan pada Majlis sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59 bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ yang dianjurankan bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).
Dalam titah ucapan itu, Tunku Hajah Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.
Seri Paduka turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan golongan wanita di negara ini.
Tunku Hajah Azizah turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa Covid-19 termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya serta kanakkanak.
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia. Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Seri Paduka.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Penyelidkan dan Inovasi, Prof. Dato’ Ir. Dr. Abdul Wahab Muhammad berkata perjuangan wanita memerangi COVID-19 tidak mudah dan tidak kurang hebatnya; dari perjuangan suri rumah, ibu kepada anak-anak, kepada wanita yang berkerjaya dan berjawatan tinggi.
“Semoga hari ini menjadi satu permulaan kepada lebih banyak peluang yang hebat bagi semua wanita di Malaysia untuk terus maju, cemerlang dan memacu usaha-usaha yang dijalankan,” katanya.
Sambutan Hari Wanita Kebangsaan Ke-59 itu turut menampilkan wanita-wanita hebat seperti Yang Dipertua NCWO merangkap Mantan Naib Canselor UKM, Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Penasihat Khas kepada Mantan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti UKM, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood dan Pengarah PKWTFH, Prof. Dr. Dayang Anita Abdul Aziz.