RMK-11 Sebagai Persediaan Negara Maju Menjelang 2020
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 19 Jun 2015 – Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 21 Mei lalu merupakan fasa terakhir pelan hala tuju pembangunan ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata RMK-11 yang dibentangkan untuk tempoh 2016-2020 dilihat lebih mengutamakan usaha berterusan kerajaan dalam mengubah nasib rakyat yang berada pada kelompok 40 peratus yang bawah (B40).
Negara berpendapatan tinggi ditakrifkan sebagai mempunyai pendapatan per kapita negara sekurang-kurangnya AS$ 15,000. Pada akhir tahun 2014, pendapatan per kapita Malaysia berjumlah AS$ 10,796.
“RMK-11 dilihat lebih menekankan usaha bagi mengubah nasib kelompok yang berada di bawah garis kemiskinan dan isi rumah di bawah 40% yang berpendapatan bulanan kira-kira RM2,500 (miskin bandar). Untuk jumlah pendapatan itu, kira-kira 2.7 juta penduduk di negara kita berada pada kategori ini,” katanya semasa menyampaikan hujah pada program Bicara Persada ke-21 dengan tajuk ‘RMK-11 Pertumbuhan untuk Semua: Terlaksanakah?’ di sini pada 15 Jun lepas.
Katanya, beliau tertarik dengan laporan Bank Dunia yang tidak menyebut tentang bottom 40 tetapi secara ringkasnya laporan itu menjelaskan bahawa satu peratus berada pada bawah garis kemiskinan, dan 15 peratus berada di antara garis kemiskinan, iaitu 2.5 kali ganda di bawah garis kemiskinan.
“Laporan itu turut menyebut bahawa 51 peratus daripada penduduk isi rumah di negara ini berada pada jurang 2.5 sehingga purata pendapatan,” katanya.
Beliau berkata apabila membicarakan tentang pertumbuhan untuk semua, ia harus memberi gambaran kepada empat kedudukan profil pendapatan penduduk negara ini.
“Isunya sekarang ini mungkin kepada kemiskinan kerana ia dikatakan ukuran daripada aspirational group. They do everything. Jadi bagaimana kita nak memuaskan hati golongan ini?, soalnya.
Prof Dr Noor Azlan berkata terdapat kelompok tertentu yang mendakwa kerajaan telah mengabaikan kepentingan kumpulan etnik dalam RMK-11.
“Tanggapan ini tidak benar kerana sasaran B40 merentasi sempadan etnik dan tidak terhad kepada mana-mana etnik malah ia melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya kerajaan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada statistik makro yang seolah-olah nampak cantik pada luaran tetapi sebaliknya berlaku.
Beliau memberi contoh Amerika Syarikat yang nampak cantik pandangan ekonominya tetapi sebenarnya kira-kira 13 peratus masyarakatnya masih miskin dan hidup gelandangan.
“Kes ini (Amerika Syarikat) adalah sama seperti di Asia Barat. Ia Nampak seperti isu-isu politik tetapi sebenarnya krisis yang berlaku berpunca daripada masalah pertumbuhan ekonomi yang tidak konsisten,” katanya.
Sementara itu, Felo Utama Intitut Kajian Etnik UKM, Datuk Dr Denison Jayasooria berkata hasil kajian dan tinjauan turun padang bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilakukannya mendapati statistik yang dikemukakan oleh kerajaan adalah kurang tepat dan lebih bersifat indah kabar dari rupa.
Beliau berkata banyak faktor yang perlu diambil kira bagi membezakan antara miskin bandar dan miskin luar bandar.
“Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) amat proaktif dalam melakukan beberapa tinjauan awam mengenai isu tanah di kawasan luar bandar dan pendapatan yang diperolehi mempunyai kaitan rapat dengan faktor kemiskinan,” katanya.
Beliau menggesa supaya kerajaan melihat masalah itu dan cuba atasinya dengan langkah-langkah yang telah disediakan oleh Suhakam.
“Rakyat mahukan masalah mereka diatasi dengan mantap, jitu, konkrit dan konsisten, bukannya seperti melepaskan batuk ditangga,” katanya.
Bagi Pengerusi Yayasan Mahkota, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata, RMK-11 tidak mempunyai banyak perbezaan dengan Rancangan Malaysia yang sebelum ini.
“Setiap Rancangan Malaysia yang dibentangkan adalah tertumpu kepada menjana pertumbuhan ekonomi negara dan ia adalah pertumbuhan untuk semua. Tetapi timbul isu aspirasi untuk menambahbaik dengan apa yang telah ada sekarang,” katanya.
Beliau berkata masalah yang dihadapi sekarang ini adalah pertumbuhan ekonomi dari segi makro dan mikro dalam mencapai negara maju.
Beliau turut memberitahu bahawa perbezaan pendapatan yang berlaku pada masa sekarang adalah tidak mengikut kaum.
“Bagi saya sekarang ini bukan lagi tentang bottom 40 tetapi adalah the middle class (kelas pertengahan),” katanya.
Pengerusi Bank Kerjasama Rakyat, Dato’ Mat Noor Nawi pula menjelaskan bahawa RMK-11 adalah separuh daripada RMK-10.
“Dalam RMK-11, ia lebih tertumpu kepada mengurangkan jurang pendapatan. Tetapi apa yang kita lihat sekarang ini adalah jurang antara orang miskin dan orang kaya adalah double dan ini adalah cabaran yang perlu kita hadapi kerana ia agak sukar untuk dirapatkan jurang itu,” katanya.
Katanya untuk bidang hartanah dalam RMK-11 kerajaan telah mencadangkan untuk membina kira-kira 100,000 rumah kepada rakyat dan cadangan ini juga turut dibentangkan dalam RMK-10.
“Kita hargai niat murni pihak kerajaan dalam RMK-11 yang dibentangkan baru-baru ini tetapi untuk mencapai apa yang dibentangkan itu is very high to achieve,” katanya.
Forum tersebut telah dipengerusikan oleh Pengacara RTM, Sayed Munawar Sayed Mustar.