Sains Teknologi Mampu Menjana Pendapatan Lumayan
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Abdul Raai Osman
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggalakkan para pelajar menceburi bidang sains teknologi dan pertanian sebagai kerjaya pilihan kerana bidang itu mampu menjana pendapatan lumayan.
Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata bertepatan dengan cabaran pelaburan pada masa kini, beliau ingin melihat hasil penyelidikan dapat dikomersialkan.
“Jadi, kerjasama antara UKM dengan Data Intelek Sdn Bhd (DISB) dan Nomatech Sdn Bhd akan membantu para penyelidik dalam mengkomersialkan produk yang dihasilkan.
“UKM amat berbangga dengan kerjasama ini kerana DISB adalah syarikat yang menawarkan perkhidmatan kejuruteraan analisis bersepadu kepada industri pemprosesan yang merangkumi bidang kejuruteraan dan pengujian.
“Manakala Nomatech pula merupakan syarikat inovasi berasaskan pertanian yang mengkomersialkan hasil penyelidikan dan hasil akhir pertanian dan memfokuskan kepada penyediaan pembangunan produk dan servis teknikal berkaitan pertanian.
“Jadi kolaborasi antara UKM dengan kedua-dua syarikat ini akan dapat membantu penyelidik UKM memasarkan hasil penyelidikan ke peringkat global dan mampu menjana pendapatan lumayan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perlesenan Teknologi (TLA) antara UKM Teknologi, DISB dan Nomatech di sini, baru-baru ini.
Beliau berharap agar kolaborasi DISB bersama dengan kumpulan penyelidik bagi produk CAISER yang merupakan satu set peranti yang boleh digunakan untuk membangunkan teknologi aplikasi pemprosesan acara itu dapat berjalan dengan lancar.
“Kumpulan penyelidikan produk Plant Variety Rice iaitu variasi beras perang yang dihasilkan akan bekerjasama dengan Nomatech dan kami percaya teknologi yang dilesenkan ini akan membantu mencapai visi syarikat dan negara,” katanya.