Sambutan Raya UKM Meriah


Oleh Iznee Isa & Alyani Azhar
Foto oleh Jurugambar Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 21 Julai 2017 – Majlis Hari Raya Aidilfitri Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disambut meriah dengan kehadiran anak-anak yang berasal dari Bangi dan kanak-kanak Rohingya.

Kemeriahan tersebut turut dikongsi bersama duta-duta beberapa negara termasuk dari Australia, Kanada dan Jerman yang turut hadir bagi merasai suasana hari raya di institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata sambutan hari raya akan mengukukuhkan ikatan silaturahim dalam kalangan saudara mara dan sahabat handai.

“Hari ini adalah hari kemenangan bagi umat Islam dan juga kemenangan untuk UKM dalam konteks mencapai kecemerlangan,” katanya.

Pelbagai jenis hidangan tradisi dan moden disediakan untuk tetamu yang hadir termasuk rendang, nasi dagang, laksa, sate, kambing golek dan buah-buahan.

Persembahan muzik dan tarian turut diadakan untuk hiburan para tetamu.

Pada majlis itu, UKM telah menerima sumbangan zakat dari pelbagai pihak seperti cek dividen bernilai RM2.5 juta dari UKM Holdings Sdn Bhd dan RM 131,000 daripada Koperasi Unikeb Berhad.

UKM juga turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr Ibrahim Saad dan isteri, ahli-ahli LPU, semua Timbalan Naib Canselor UKM, dan seluruh warga UKM.