Sastera Pelancongan Bantu Industri Pelancongan Malaysia
Oleh: Farah A’lia Manan
BANGI, 27 Jun 2021- Industri pelancongan perlu mengembangkan unsur sastera tempatan untuk menarik lebih ramai pelancong melawat Malaysia, kata Sasterawan Negara, Datuk Dr Siti Zainon Ismail.
Beliau berkata sedemikian semasa menjadi panel bagi Webinar Bicara Tokoh Sastera Pelancongan dan Musim Wabah yang dianjurkan oleh Kumpulan Penyelidik GGP-2020-022 bersama Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK UKM, baru-baru ini.
Katanya, para seniman sudah lama memasukkan unsur sastera dalam pelancongan melalui kesenian dan kebudayaaan.
“Seniman negara, Syed Ahmad Syed Jamal pertama kali menghidupkan tenunan songket yang ditenun menjadi lukisan dan mendapat pasaran di luar negara.
“Seniman negara yang lain juga pernah mempromosikan Gunung Ledang dengan mengajak pelukis-pelukis menghasilkan lukisan serta mengajak penyair datang membaca puisi di sana.
“Kita perlu menaik taraf sastera dalam dunia pelancongan sebagaimana yang sudah dilakukan oleh para seniman ketika dahulu,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengambil inisiatif dengan mempromosikan kebudayaan ke dalam pelancongan secara maya ketika pandemik Covid-19.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia, Uzaidi Udanis, salah seorang panelis Webinar mengulas lebih lanjut:
“Kami mendapati adat perpatih Negeri Sembilan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan pelancong luar negara yang berminat mengetahui adat yang menyatakan kaum wanita sebagai pemimpin,” katanya.
Tambahnya, sastera pelancongan disifatkan amat penting semasa pandemik Covid-19 kerana para pelancong dapat melawat tempat yang dipaparkan selaion meningkatkan pembangunan serta peluang pekerjaan dalam negara.
“Program ini dianggap sebagai pembuka selera untuk para pelancong datang ke Malaysia selepas kebenaran merentas negara.
“Saya harap dapat bekerjasama dengan para pelajar sastera UKM dan para akademik untuk menghasilkan lebih banyak produk sastera pelancongan secara maya bagi memulihkan ekonomi pelancongan negara.”
Webinar yang berlangsung melalui aplikasi Zoom itu turut dihadiri oleh wakil-wakil dari Universiti Negeri Yogyakarta serta para mahasiswa Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, FSSK UKM.