Sekolah Tahfiz: Perlu Tubuhkan Pusat Melatih Guru Tahfiz
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 9 Jan 2018 – Bagi melicinkan perjalanan pembelajaran pelajar-pelajar di sekolah tahfiz, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Islam Selangor, Prof Dato’ Dr Ab Halim Tamuri mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah pusat latihan guru tahfiz.
Prof Dato’ Dr Ab Halim berkata, pusat latihan itu perlu memandangkan pusat tahiz juga adalah sebuah institusi pendidikan yang semakin mendapat perhatian.
“Guru sekolah tahfiz perlu diberi latihan secukupnya berbanding hanya mengajar berdasarkan pengalaman mereka sahaja. Masing-masing ada kekuatan sendiri, tetapi mereka tidak ada piawaian amalan terbaik dalam pengajaran,” katanya pada Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk Status Sekolah Tahfiz dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan Ke Mana Akhirnya di Persada Canselori, baru-baru ini.
Beliau berkata, penubuhan institusi itu perlu dilakukan secara berperingkat dengan melibatkan semua guru sekolah tahfiz di seluruh Negara sama ada sekolah arus perdana atau swasta.
“Kami akan mencadangkan kepada Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) untuk dibincangkan bersama beberapa kementerian. Ia agak rumit kerana melibatkan perbincangan dengan banyak pihak. Perbincangan demi perbincangan akan dilakukan dan saya berharap supaya cadangan ini mendapat perhatian dan dapat dilaksanakan dengan cepat,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli LEPAI, Prof Datuk Zakaria Stapa berkata cadangan itu akan dikemukakan pada mesyuarat LEPAI yang dijadualkan pada Mac depan.
“Asas yang bekaitan dengan pendidikan guru-guru tahfiz adalah satu perkara yang kritikal dan perlu diberi perhatian. Pendedahan yang secukupnya juga perlu diberikan supaya persoalan guru tahfiz tidak terlatih dan kurikulum sekolah tahfiz tidak selaras tidak lagi berbangkit,” katanya.
Wacana yang dianjurkan oleh ATMA itu turut menampilkan Pensyarah Pusat Citra UKM, Dr Azizi Umar, Bendahari Permata al-Quran, Mejar (B) Dato’ Adnan Hashim dan Pengarah ATMA UKM, Prof Dr Supyan Hussien sebagai moderator.