Sel Stem Bermanfaat Rawat Penyakit Sukar Sembuh


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 1 Oktober 2017 – Darah tali pusat bayi (sel stem) yang disimpan di bank sel stem memberi manfaat yang besar dalam rawatan penyakit sukar sembuh seperti barah darah (leukemia) dan limfoma.

Pakar Perunding Kanan Hematologi dan Ketua Pusat Terapi Sel, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof Dr S Fadilah S Abdul Wahid bekata darah tali pusat bayi adalah kaedah mudah merawat penyakit dan bertindak seperti persediaan awal untuk dimanfaatkan ahli keluarga yang berhadapan penyakit bahaya seperti leukemia dan limfoma.

“Ia bukan sahaja memberi manfaat kepada bayi tersebut, tetapi juga kepada adik beradik yang lain,” katanya dalam Forum Perdana ‘Sel Stem: Aplikasi Perubatan Kini, Antara Manfaat, Risiko dan Perspektif Islam’ di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata adalah merugikan jika sel stem tersebut tidak disimpan dan hanya ditanam begitu sahaja selepas bayi dilahirkan kerana ia tidak memberi risiko kepada penderma (bayi).

“Walau bagaimanapun, kadar keserasian sel stem untuk kegunaan adik beradik yang lain hanya 25 peratus sahaja.

“Suatu perkara yang menarik, kadar keserasian yang mudah dan tinggi adalah dalam kalangan masyarakat pantai timur berbanding negeri lain,” jelasnya.

Sementara itu, Pakar Kardiologi dan Penyelidik Sel Stem dari Cytopeutics Sdn Bhd, Prof Madya Dr Chin Sze Piaw bekata sel stem boleh tumbuh dengan cepat apabila dimasukkan dalam kawasan yang berpenyakit dan menjadikannya lebih sihat.

“Sel stem ada di seluruh badan seperti organ, tulang dan otot, tetapi, apabila semakin berusia, jumlahnya semakin kurang.

“Tambahan pula, penghidap penyakit kronik lazimnya menghadapi kemerosotan jumlah sel stem yang mendadak,” terangnya.

Beliau mencadangkan supaya satu pangkalan data diwujudkan bagi meyimpan maklumat tentang penyimpanan sel stem di negara ini.

“Ini bagi memudahkan urusan pendermaan serta pemindahan sel stem dijalankan pada masa hadapan,” katanya.