Seminar Kebangsaan Pemegang Taruh Bincang Isu Ekonomi Dasar Penyahkarbonan Sektor Elektrik
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman
BANGI, 12 November 2020 – Dalam merangka dasar dan polisi negara, pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih tinggi menjadi fokus utama.
Namun, menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki Mustafa, selaras dengan sasaran pembangunan lestari (SDG), amat penting usaha untuk merangka alat dasar yang berkesan untuk mencapai pembangunan ekonomi yang selari dengan meningkatkan kesejahteraan sosial dan kelestarian sumber.
Beliau berkata Perjanjian Paris (2016) telah menetapkan supaya setiap negara global dapat mencapai matlamat mengurangkan tahap pelepasan karbon dioksida akibat dari perubahan iklim, namun sehingga kini matlamat tersebut masih belum dicapai.
“Meskipun Malaysia, sebuah negara sedang membangun dan voluntari dalam mencapai sasaran pengurangan pelepasan karbon, komitmen Malaysia dalam mengurangkan kesan pemanasan rumah hijau ini masih lagi rendah.
“Justeru, usaha kajian ini (Analisis Ekonomi Dasar Penyahkarbonan Terhadap Sektor Elektrik Di Malaysia) untuk memperkenalkan sebuah alat dasar yang baru adalah sangat bertepatan dengan kehendak dasar bagi mencapai matlamat pembangunan dan sumber tenaga lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Seminar Kebangsaan Pemegang Taruh: Analisis Ekonomi Dasar Penyahkarbonan Terhadap Sektor Elektrik Di Malaysia yang diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom. Seminar tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh.
Katanya, seminar tersebut dilihat sangat relevan dalam memastikan ilmu yang diperoleh dapat dikongsikan bersama pemegang taruh.
“Ia juga merupakan satu usaha mewujudkan rangkaian jaringan dan kerjasama bidang akademik. Keperluan ini menjadi penting ke arah memperkasa UKM sebagai universiti penyelidikan.
“Di samping pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat, penyertaan kakitangan akademik dan bukan akademik dalam mana-mana seminar perlu digalakkan dan sewajarnya diberi pengiktirafan,” ujarnya.
Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Marzuki berharap agar intipati seminar itu dapat disampaikan kepada pemegang taruh secara lebih mendalam melalui interaksi antara penyelidik, penggubal dasar dan pihak swasta.
“Saya berharap seminar yang dianjurkan oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan akan membuka minda ahli akademik muda untuk melihat lebih kepada pembangunan mampan dan lestari bagi memastikan Malaysia bukan hanya menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi juga negara lestari yang berkebajikan. Pihak Universiti sentiasa memberi sokongan dan dorongan ke atas usaha ini demi memacu masa depan negara yang lebih harmoni,” katanya.