Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara Kupas Isu Semasa


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 13 November 2021 – Perubahan yang berlaku dalam sektor pendidikan seperti struktur pembelajaran dan pelaksanaan pendidikan telah memberi peluang kepada para pendidik, penyelidik, dan pemikir berkongsi dapatan kajian dan pandangan berkaitan bidang pendidikan.

Perkongsian dapatan kajian itu dibuat dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Negara (SKEPEN) 2021 yang dianjurkan oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), hari ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia Datin Sri Hajah Nor Zamani Abdol Hamid berkata isu yang timbul akibat pandemik COVID-19 menjadi inspirasi kepada para pengkaji bidang pendidikan untuk meneroka isu-isu kritikal yang timbul sebelum, semasa atau selepas berakhirnya pandemik.

Beliau berharap penemuan baharu menerusi program tersebut memberikan implikasi terhadap dasar dan amalan semasa yang memerlukan pengubahsuaian dan penambahbaikan dalam pendidikan kini.

“Saya yakin cadangan yang akan dikemukakan melalui kajian-kajian oleh pembentang SKEPEN 2021 ini nanti boleh menjadi rujukan kepada para pemegang taruh dalam merancang dan melaksana strategi baharu pendidikan.

“Malah, hasil kajian wajar dibincangkan secara terbuka dengan melibatkan pelbagai pihak. Ini penting supaya perkongsian pandangan, idea, cadangan serta strategi yang dilontarkan menjadi amalan yang terbaik dalam menangani kesukaran proses pendidikan yang timbul, khususnya yang berpunca daripada perkara di luar jangkaan seperti pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Bertemakan ‘Meneroka dan Mengurus Isu-isu Kritikal Pendidikan Negara’, seminar dua hari tersebut turut menampilkan panel jemputan, Naib Canselor UKM Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Pembangunan Profesionalisme Keguruan) Dr. Ahmad Rafee Che Kassim yang menyampaikan ucaptama mereka.

Terdapat 17 sub tema telah ditetapkan bagi SKEPEN 2021. Kesemua sub-tema ini selari dengan matlamat ‘Sustainability Development Goals’ keempat untuk mencapai sistem pendidikan yang berkualiti, inklusif, dan saksama.

SKEPEN adalah forum yang membolehkan semua pihak berbincang secara terbuka tentang strategi yang berkesan bagi menangani cabaran dalam bidang pendidikan khususnya yang berkaitan dengan pandemik Covid-19.