Seminar TVET Fellowship Buka Peluang Pengajar Jalankan Penyelidikan
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 15 Disember 2022 – Penganjuran Seminar TVET Fellowship 2022 oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) beri peluang kepada pengajar TVET untuk menjalankan penyelidikan secara separuh masa.
Diselaraskan oleh Pusat IDEA UKM, seminar ini merupakan salah satu aktiviti kesinambungan perjanjian yang telah dimeterai ini antara UKM dan JPK pada tahun 2021.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat, Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin berkata pihak UKM berperanan terhadap pengurusan dan pelaksanaan latihan fellowship TVET serta penyelarasan bagi penempatan para pengajar yang berjaya mengikuti program ini.
“Para pengajar berpeluang menjalankan penyelidikan secara separuh masa bersama penyelia, memperoleh pengalaman sebenar penyelidikan di institusi penyelidikan, meluaskan rangkaian penyelidikan dengan pakar bidang, mendapat kefahaman mengenai amalan dan strategi pengurusan penyelidikan yang efektif serta dapat berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan barisan pengajar yang lain.
“Seminar ini melibatkan pembentangan pelaporan kajian penyelidikan oleh lima orang pegawai yang ditempatkan di UKM dan Universiti Teknologi Mara bagi tempoh enam bulan.
“Diharapkan output yang berjaya ditemui dan dihasilkan dalam kajian penyelidikan mereka ini mampu menyumbang bukan sahaja kepada institusi, tetapi dapat memberi impak kepada masyarakat, industri, agensi kerajaan dan negara,” tambahnya.
Seminar TVET Fellowship 2022 dirasmikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia, Kementerian Sumber Manusia, Tuan Shakib Ahmad di Akademia Siber Teknopolis, UKM.