Setiap Pelajar Perlu Ada Jiwa UKM – Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali


Oleh Alyani Azhar dan Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 8 September 2017-  Pelajar harus menerapkan Jiwa UKM ke dalam diri masing-masing sepanjang pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia, kata Naib Canselor Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata pelajar yang terpilih ke UKM perlu mempunyai misi yang sama iaitu  memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang cemerlang, hebat, maju, dan sejahtera dalam semua konteks.

“Anda kena tahu bahawa penubuhan UKM adalah atas aspirasi rakyat. Sebuah universiti yang saya kira keramat sifatnya .

You are here because you are important, because not only your own personal mission, tetapi ia adalah satu amanah kepada negra ini. Jadi, jiwa UKM itu mesti masuk ke dalam lubuk hati anda semua,” katanya semasa sesi Pendaulat Amanah Negara dan Ikrar Pelajar Baharu Sesi 2017/2018 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai pelajar yang terpilih ke UKM, para pelajar perlu menanam semangat cintakan UKM dan perlu ada jiwa UKM dalam diri.

“UKM akan memberikan yang terbaik kepada anda semua dengan syarat anda juga memberikan yang terbaik kepada UKM. Kecemerlangan saudara saudari, adalah kecemerlangan UKM. Itu janji kami.

“Apabila anda keluar nanti (tamat belajar), anda akan keluar dengan jiwa yang besar, keluar dengan jiwa UKM, keluar dengan kebitaraan yang hebat.

“Jadi, daripada sekarang, anda perlu memikirkan siapa anda, apa kekuatan anda, apa yang akan anda laksanakan untuk memastikan bila anda keluar dari UKM kelak, anda telah membawa payung merah bersama anda,” soalnya.

Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan berkata beliau mahukan para pelajar menjadi yang terbaik dalam setiap apa yang dilakukan.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar dan berharap agar pelajar mencapai kecemerlangan sepanjang pengajian di UKM.

Pada majlis itu juga, Naib Canselor memperkenalkan barisan pengurusan utama universiti termasuk Timbalan-Timbalan Naib Canselor (TNC) dan dekan setiap fakulti dan institusi UKM.

Selepas tamatnya program Pendaulat Amanah Negara, lebih 4000 pelajar baharu UKM telah melafazkan ikrar pelajar di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.

Turut hadir TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni; Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, TNC Hal-Ehwal Jaringan Industri & Masyarakat; Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah, TNC Hal-Ehwal Penyelidikan dan Inovasi; Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman dan TNC Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa; Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat.