Sistem Ubida UKM dilancar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 Januari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah melancarkan Sistem Bidaan Universiti (UBida) bagi penjualan plat kenderaan edisi khas UKM bermula 8 Januari hingga 13 Januari ini sempena sambutan Jubli Emas 50 Tahun UKM.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata beberapa modul baharu telah dibangunkan untuk sistem UBida iaitu modul potongan gaji untuk staf dan baucar belian diskaun.

“Modul potongan gaji ini adalah khas untuk staf UKM, di mana staf yang membeli nombor plat dari kategori terpilih, contohnya nombor empat digit berharga RM1,000 akan disemak kelayakan potongan gaji secara online dan jika layak, boleh memohon potongan gaji bagi pembelian dari tempoh satu hingga lima tahun secara atas talian.

“Ini memberikan peluang untuk semua warga UKM dari staf pelaksana hinggalah pengurusan tertinggi untuk memiliki nombor plat terhad ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penghargaan Perdana dan Pelancaran Sistem UBida, di sebuah hotel di Bangi.

Katanya, sistem UBida dibangunkan dengan penggunaan berskala iaitu tidak terhad kepada penjualan plat semata-mata, malah sistem tersebut akan terus diguna pakai oleh Universiti untuk pelbagai tujuan, termasuk bidaan bagi penjualan aset yang hendak dilupuskan, bidaan tempat letak kereta di sekitar kawasan UKM dan beberapa aktiviti penjanaan pendapatan dalaman.

“UKM juga telah menawarkan langganan sistem ini kepada semua Universiti Awam di Malaysia yang berminat untuk menggunakannya sebagai sistem penjualan plat kenderaan. UKM berharap UBida akan menjadi sistem pertama yang dikomersilkan kepada pihak luar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, penjualan plat edisi khas pada tahun ini adalah satu aktiviti yang sangat berharga bagi UKM kerana jenama UKM bakal berada di serata Malaysia, dipandu oleh seluruh pelusuk rakyat serentak dengan Sambutan Jubli Emas UKM.

“UKM meletakkan sasaran penjualan plat kenderaan edisi khas UKM sebanyak RM10 juta sebagai dana tambahan kepada Universiti, dan saya amat berharap agar sasaran ini tercapai.

“Saya juga berharap penjualan plat khas kenderaan UKM ini mendapat sokongan dan minat yang tinggi dari para pendana dan alumni,” katanya.

Pada 6 November 2019, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, telah melancarkan penjualan plat kenderaan edisi khas UKM, dan UKM menjadi universiti pertama mendapat kelulusan rasmi dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan.