Sudut ISRA UKM, Ruang Sehenti Pelbagai Bidang Kewangan Islam
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi
BANGI, 28 Januari 2022 – Sudut ISRA yang dibangunkan di Perpustakaan Tun Sri Lanang (PTSL), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjadi ruang yang menghimpunkan bahan-bahan akademik dalam bidang ekonomi Islam, muamalat, dan ekonomi halal termasuk bidang perbankan dan kewangan Islam.
Sudut ini adalah ruangan sehenti yang menyediakan buku, jurnal, kertas penyelidikan, sumber kewangan Islam, dan komputer yang menyediakan akses percuma kepada platform ISRA I-FIKR untuk tujuan memperkayakan sumber pengetahuan dalam ekonomi dan kewangan Islam di UKM.
Ruang tersebut dapat digunakan sebagai medium penyampaian ilmu ekonomi Islam sama ada kepada warga UKM mahupun masyarakat luar UKM.
Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata inisiatif mewujudkan sudut ISRA di ruangan PTSL terhasil apabila International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA) yang merupakan antara entiti utama di bawah International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF) membantu menaja sudut tersebut melalui penajaan penuh oleh CIMB Islamic kepada INCEIF.
“Kerjasama yang terjalin erat semenjak beberapa tahun yang lepas bersama Pusat Penyelidikan Ekonomi dan Kewangan Islam (EKONIS), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP) UKM diharap dapat terus diperhebatkan setelah wujudnya Sudut ISRA ini, khususnya dalam meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.
“UKM amat berterima kasih kepada pihak CIMB Islamic dan INCEIF yang telah banyak membantu dalam semua aspek khususnya dalam proses memperkasakan pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan UKM.
“Semoga jalinan kerjasama yang terjalin ini dapat terus digiatkan dengan lebih aktif melalui program intelektual dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Sudut ISRA, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Timbalan Presiden Akademik & Dekan INCEIF, Prof. Dr. Mansor H. Ibrahim, dan Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic Bank, Encik Ahmad Shahriman Mohd Shariff.
Prof. Dato’ Dr. Norazah berharap agar jaringan tersebut akan dapat melahirkan modal insan yang tinggi nilainya dalam usaha membentuk peningkatan taraf kepimpinan penyelidik dan graduan yang kompeten.
“Saya juga berharap dapatan dari jaringan ini dapat disebarluaskan kepada pelbagai pihak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Penubuhan Sudut ISRA akan dapat memperkasakan lagi peranan PTSL UKM sebagai pusat sumber pelbagai bidang ilmu.
Inisiatif ini akan dibuat dalam pelbagai bentuk termasuklah berkongsi pengetahuan mengenai institusi kewangan Islam dan mengembangkan pengetahuan ekonomi Islam kepada komuniti universiti, membantu dan memperkayakan koleksi buku ekonomi dan kewangan Islam di perpustakaan dan pusat sumber, dan mempromosikan buku, makalah penyelidikan dan artikel dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam yang dihasilkan oleh warga UKM.