SUHAKAM Cadang Tubuh Pusat Hak Asasi Manusia di Universiti Awam

0001

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 12 April 2016 – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) mencadangkan agar Universiti Awam, khasnya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menubuhkan Pusat Hak Asasi Manusia yang akan memainkan peranan sebagai pusat penyelidikan dan pembelajaran dalam bidang tersebut.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Hasmy Agam berkata universiti awam wajar menubuhkan pusat tersebut kerana terdapat ramai pakar-pakar dalam bidang hak asasi manusia.

“Isu hak asasi manusia penting kerana Malaysia sedang bergerak ke arah negara maju dan ini bermakna penanda aras bagi Malaysia dalam isu berkaitan hak asasi akan menjadi lebih tinggi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan SUHAKAM di sini semalam.

Beliau berkata perkara tersebut masih dalam cadangan dan akan dibincangkan bersama dengan institusi terlibat, terutamanya UKM, dalam memastikan penubuhan pusat hak asasi manusia tersebut tercapai.

Tambahnya, Indonesia, Filipina dan Thailand masing-masing sudah memiliki sekurang-kurangnya enam pusat hak asasi manusia.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata MoU di antara UKM dengan SUHAKAM adalah MoU kedua untuk dan dilakukan untuk mewujudkan lebih banyak kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan, rundingan, pembangunan dan promosi hak asasi manusia.ukmnewsportal-bm
1

00004