Sumber Manusia Penting untuk Pembangunan Negara
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Shahiddan Saidi
BANGI, 27 September 2016 – Sumber manusia yang berkualiti dan berbakat adalah faktor utama dalam mewujudkan pembangunan yang berterusan ke arah memajukan negara.
Demikian menurut Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Akdemik dan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah OK Rahmat ketika merasmikan International Association of Talent Development Conference (IATD), di Pusat Permata Pintar Negara UKM, baru-baru ini.
Bertemakan Igniting Muslim Talent, IATD, kata beliau, adalah platform yang sesuai untuk mengenalpasti potensi dan bakat daripada setiap negara Islam dan memberi peluang untuk negara-negara terlibat untuk mewujudkan kerjasama.
Tambah beliau, individu yang berbakat dan berpendidikan tinggi mempunyai kelebihan dalam menyumbang idea untuk membangunkan negara di samping menerajui setiap perkara seperti pengetahuan, industri dan bakat dari sumber manusia.
Prof Riza Atiq berharap kerjasama yang erat dan padu antara negara-negara Islam diperluaskan dalam mencari bakat-bakat pintar, di samping bertukar-tukar idea yang bernas, kolektif dan bijak.
Hadir sama di majlis tersebut adalah Pengarah Pusat Permata Pintar Negara UKM, Prof. Dato’ Dr. Noriah Mohd Ishak, Timbalan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara UKM, Prof Madya Dr Mohd Arif Ismail dan Presiden Persidangan IATD, Prof. Dr. Dawood Al-Hidabi.
Pesidangan tersebut dihadiri oleh kira-kira 100 peserta dari dalam dan luar negara seperti Arab Saudi, Palestin, Iraq dan Qatar dengan 50 kertas kerja dibentangkan dalam persidangan dua hari tersebut.