Sumber Serabut Semulajadi Sebagai Bahan Masa Depan Lestari
Oleh Azril Izzat Ramlan
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 3 Jun 2022 – Sumber serabut asli berpotensi sebagai bahan masa depan lestari, kata Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad, Dekan Fakulti Sains & Teknologi UKM.
Beliau berkata, pengekstrakan dan pencirian selulosa nanohablur (CNC) dari sumber serabut asli seperti kenaf, sekam padi, kelapa sawit dan mengkuang serta penggunaannya dalam pelbagai aplikasi yang berpotensi sebagai bahan masa depan lestari.
Menurutnya, Malaysia merupakan sebuah negara beriklim tropika yang kaya dengan sumber biojisim lignoselulosa yang mempunyai sumber utama dalam penghasilan nanoselulosa.
Beliau berkata sedemikian dalam Syarahan Perdana bertajuk ‘Nanoselulosa Sumber Semulajadi : Potensi Bahan Untuk Masa Hadapan’ baru-baru ini.
“Malaysia mengeluarkan hampir empat juta tan padi setiap tahun manakala 17 juta tan sawit. Untuk menghasilkan beras dan minyak sawit, sekam padi dan serabut tandan kosong sawit menjadi bahan buangan yang boleh dimajukan. Negara kita juga telah mula menghasilkan kenaf dengan sebanyak 2400 tan direkodkan pada 2010,” katanya.
Tambahnya, serabut semula jadi menjadi perhatian dalam pelbagai aplikasi kerana ciri-cirinya yang tidak mengandungi bahan toksik, mesra alam serta merupakan sumber yang boleh diperbaharui.
Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad juga menjelaskan penggunaan CNC dalam sesuatu bahan dengan jumlah yang sedikit boleh meningkatkan kekuatan serta menjadi bahan penguat berprestasi tinggi selain mampu meningkatkan kegilapan kertas dan mengubah kekakuan serta kelicinan permukaannya.
Penyelidikan yang dilakukan turut merangkumi kerjasama dari penyelidik tersohor luar negara seperti Perancis, India, China, Itali, Poland serta Indonesia sebagai penyelia dan pengarang bersama.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman berkata bahawa kepakaran Prof. ChM. Dr. Ishak Ahmad turut disumbangkan dalam beberapa badan profesional dan sekretariat di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.