Tambah Aktiviti STEM Bantu Negara Capai Status Maju Menjelang 2020
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 4 Jun 2015 – Jumlah pelajar dalam sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dapat ditingkatkan kepada nisbah 60:40 menjelang tahun 2020 melalui penganjuran pelbagai program yang berkaitan dengan bidang STEM.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Mazlin Mokhtar berkata, ketika ini nisbah pelajar yang mengikut pengajian dalam bidang STEM hanyalah 33:67 sedangkan negara memerlukan ramai tenaga kerja mahir dalam bidang tersebut untuk melonjakkan pembangunan negara.
Berikutan itu, sasaran tersebut dapat dicapai melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan bagi memupuk minat pelajar kepada STEM di peringkat sekolah seperti kem dan pertandingan berkaitan sains, katanya ketika menutup Program Kem Eksplorasi Tenaga Lestari anjuran UKM dan Exxon Mobil Malaysia di sini hari ini.
“Untuk jadi negara maju, kita perlukan 60 peratus pelajar dalam bidang STEM kerana bidang-bidang tersebut yang akan melonjakkan ekonomi negara seperti menerusi inovasi dalam bidang kejuruteraan dan sains termasuk alam sekitar,”
Turut hadir, Pengarah Hubungan Industri, Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr. Arham Abdullah dan Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc. (EMEPMI) dan Pengarah Kewangan Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Ernest Miller.
Miller, dalam ucapan penutup beliau, berkata sains adalah salah satu mata pelajaran yang merangkumi segala-galanya dalam hidup. Ia membantu pelajar menjad suka ambil tahu, bertanya soalan, dan mengkaji mengenai alam tabii.
“Mereka yang dalam STEM membantu menyelesaikan masalah bukan hanya untuk hari ini tetapi untuk masa depan. Sebagai contoh, mereka sedang berusaha ke arah mencari penyelesaian untuk perubahan iklim dan pemanasan global, habitat menghilang, kanser dan penyakit-penyakit lain,” ujar beliau.
Beliau menjelaskan bahawa tidak kira apa pilihan kerjaya mereka, syarikat itu percaya bahawa anak-anak muda perlukan pemahaman jelas mengenai STEM untuk maju dengan teknologi yang sentiasa berubah sama ada di tempat kerja tempatan atau antarabangsa.
“Kami percaya bahawa STEM menjadi asas kemajuan sosio-ekonomi mana-mana negara.
“Ini adalah benar terutamanya di ExxonMobil, seperti yang kita bergantung kepada teknologi dan inovasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kecekapan perniagaan kami.
“Kami memerlukan jurutera dan saintis untuk menemui sumber bahan api baru, menguruskan sumber tenaga dengan lebih cekap dan memberi tenaga yang diperlukan oleh dunia,” katanya.
Tambah beliau dengan melabur dalam STEM, syarikat itu telah melabur dalam masa depan golongan remaja.
Program Kem Eksplorasi Tenaga Lestari ialah program usahasama antara UKM dan ExxonMobil Malaysia yang merupakan salah satu program Global Science and Innovation Advisory Council (GSIAC) dalam UNESCO.
Dalam program tersebut para pelajat diberikan tugasan untuk menjana projek yang meluahkan idea mengenai penggunaan tenaga secara cekap.