Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah Terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 April 2021 – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepimpinan dalam Kesihatan Awam) di Majlis Konvokesyen UKM Ke-48, hari ini.

Penganugerahan itu diberikan atas sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada masyarakat dan negara terutamanya dalam memerangi pandemik COVID-19 yang melanda negara lebih setahun yang lepas.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham yang merupakan alumni Fakulti Perubatan UKM tahun 1988 berkata beliau berpuas hati dengan pematuhan SOP dan masa yang diambil oleh pihak UKM dalam menjalankan Majlis Konvokesyen tersebut.

Menurut beliau, majlis itu boleh dijadikan contoh kepada Institusi Pengajian Tinggi yang lain.

“Saya mendoakan sidang-sidang seterusnya juga akan berjalan dengan lancar dan UKM meneruskan pematuhan SOP yang ketat seperti sidang pada hari ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UKM yang telah menganugerahkan beliau Ijazah Kehormat Doktor Falsafah yang disempurnakan oleh DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Canselor UKM.

Pada Sidang Canselor itu, Ijazah Kehormat (Pengurusan Kelestarian) telah dianugerahkan kepada Profesor Emeritus Dr. Soontak Lee, manakala sembilan tokoh akademik UKM dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus atas jasa mereka memahat kecemerlangan tertinggi kepada UKM dan negara dalam bidang kepakaran masing-masing.

Turut Pada Majlis Konvokesyen UKM Ke-48, seramai 6,166 orang graduan bakal menerima ijazah masing-masing.