Teater Sebagai Kaedah Pembelajaran Alternatif


Oleh Hafizah Mohamad Isa
Foto Bahagian Pengurusan Korporat Kampus Kuala Lumpur

BANGI, 7 Mei 2019 – Pertandingan pementasan teater yang diadakan baru-baru ini oleh pelajar-pelajar kejururawatan adalah pembelajaran alternatif bagi topik kesedaran diri kerana ia lebih berkesan berbanding kaedah pembelajaran lain seperti kuliah, tutorial atau pembentangan.

Pensyarah Kursus Developmental Psychology, Jabatan Kejururawatan, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Aishairma Aris berkata, pertandingan pementasan teater tersebut dapat melihat pelbagai jenis keadaan kesedaran diri yang disampaikan melalui babak yang berbeza oleh setiap universiti yang bertanding.

Self-awareness adalah salah satu topik dalam kursus Developmental Psychology. Kurus ini bertujuan untuk membantu pelajar program kejururawatan UKM menyedari tentang ciri-ciri peribadi mereka seperti nilai, sikap, prejudis, kepercayaan, andaian, perasaan, motif peribadi, kecekapan, kemahiran dan kekurangan diri serta kesan tindakan mereka ke atas orang lain terutamanya pesakit.

“Teori Johari window digunakan untuk membantu para pelajar membangunkan self-awareness dalam diri mereka semasa sesi pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya kesedaran diri, para pelajar akan dapat memahami dan menerima diri sendiri dan konsep diri, menjadi hormat kepada orang lain dan diri sendiri, tidak mudah menghakimi orang lain, mengelakkan konflik dengan orang lain, boleh mengawal diri dalam keadaan tertentu, lebih berfikiran terbuka, menjadi lebih mahir dalam beriteraksi dengan orang lain khususnya pesakit.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kejururawatan, Dr Zainah Mohamed berharap agar pengajaran dan pembelajaran melalui teater dapat diteruskan bukan sahaja untuk topik kesedaran diri, tetapi juga mana-mana topik yang bersesuaian bagi membantu meningkatkan pemahaman pelajar dengan lebih berkesan dan mendalam.

Pertandingan teater tersebut yang pertama kali dianjurkan telah disertai oleh pelajar-pelajar kejururawatan dari UKM, KPJ University College, Asia Metropolitan University, MAHSA University, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Malaya (UM) dan Lincoln University College.

Dalam pertandingan itu, UKM telah dinobatkan sebagai juara manakala tempat kedua dimenangi oleh UiTM dan disusuli tempat ketiga oleh UMS.