Teknologi CAISER Kini Rentas Dubai
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 20 September 2019 – Projek penyelidikan CAISER (Computer Assisted Intelligent Event Processor) yang bermula pada tahun 2011 melalui penyelidikan Doktor Falsafah (PhD) oleh Prof Madya Dr Mohamad Hanif Saad kini telah merentasi Dubai.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersyukur dengan penerimaan teknologi itu yang kini digunakan secara meluas.
Menurut beliau, sistem pintar paling kompleks yang telah dibangunkan menggunakan platform CAISER adalah Sistem Pemantauan dan Notifikasi Rangkaian yang digunakan oleh unit ICT Perbadanan Putrajaya.
“Sistem yang dibangunkan ini dinamakan SONAR dan disambungkan kepada lebih daripada 350 penderia serta sistem-sistem lain berkaitan rangkaian di Putrajaya secara masa nyata. Ia memantau operasi rangkaian utama Perbadanan Putrajaya dan memberikan amaran serta notifikasi kepada pasukan teknikal apabila rangkaian komputer tersebut mengalami masalah atau dijangka akan menghadapi sebarang masalah supaya tindakan pembetulan dapat dilaksanakan lebih awal,” ujar beliau.
Katanya, beliau mula menjalankan projek penyelidikan itu semasa mengikuti pengajian peringkat IJazah Doktor Falsafah di FKAB UKM dibawah penyeliaan Prof Dr Aini Hussein dan setelah hampir lapan tahun, CAISER makin mendapat tempat di industri.
“Bila kami dah bangunkan CAISER selama beberapa tahun, kami dapati bahawa sesetengah adapter CAISER itu turut memiliki kekuatannya tersendiri.
“Contohnya, saya dan pasukan penyelidik baru-baru ini mendapati terdapat banyak permintaan terhadap penyesuai RTU CAISER dari pihak industri kerana ia turut digunakan untuk memperoleh data dari lapangan untuk pelbagai aplikasi seperti pemantauan alam sekitar (digunakan di Putrajaya) serta pemantauan suhu dan kelembapan di dalam bangunan (kini digunakan di beberapa pejabat kerajan dan industri serta di ruang bedah hospital).
“Malah, penyesuai tersebut kini turut digunakan di beberapa buah lokasi di Dubai melalui kerjasama pembangunan dan pemasaran dengan rakan industri kami iaitu Enomatriks Solution Sdn Bhd, sebuah syarikat start-up teknologi yang dianggotai oleh beberapa bekas pelajar dan pembantu penyelidik dari kumpulan penyelidikan CAISER. Dengan bantuan jurutera-jurutera serta pengaturcara-pengatucara yang hebat daripada Enomatriks Solutions Sdn Bhd, teknologi CAISER telah berjaya diperkemaskan lagi dan diperkembangkan ke peringkat antarabangsa setanding dengan teknologi-teknologi lain di pasaran,” jelasnya.
Proses perlesenan teknologi CAISER dengan Enomatriks Solution Sdn Bhd dilakukan melalui Pusat Inovasi Kolaboratif UKM dan sudah berlangsung lebih daripada tiga tahun.
Beliau berkata, salah satu faktor utama kejayaan CAISER adalah penerimaan dan kerjasama daripada pengguna-pengguna CAISER.
“Kalau tak ada sokongan daripada pengguna, memang CAISER tak boleh pergi ke mana pun sebab ada satu penyakit dengan orang Malaysia iaitu sukar untuk percaya dengan produk tempatan.
“Bila ada pelanggan yang memberikan kepercayaan kepada kita, kita akan berikan yang terbaik. Kita akan bawa teknologi daripada UKM untuk kebaikan semua. Terima kasih kepada Perbadana Putrajaya kerana memberikan kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan projek pemantauan rangkaian Putrajaya dengan menggunakan CAISER. Disitulah bermulanya sejarah aplikasi CAISER di luar UKM,” katanya.
CAISER adalah teknologi platform yang membolehkan penciptaan sistem pintar menggunakan pendekatan Pemprosesan Peristiwa Kompleks (Complex Event Processing, CEP). CAISER memiliki tiga kategori komponen utama di dalam platformnya iaitu komponen penyesuaian pemerolehan data dari persekitaran, komponen pengesan dan pemproses peritiwa serta komponen penyesuai perlaksanaan tindakan mitigasi.
Diantara contoh-contoh penyesuai yang telah dibangunkan adalah penyesuai robot pengawasan, penyesuai CCTV pintar, penyesuai Unit Terminal Jauh (Remote Terminal Unit, RTU; digunakan untuk memperoleh data dari lapangan), penyesuaian antara muka Pengawal Logic Bolehatur (Programmable Logic Controller, PLC), penyesuaian komunikasi melalui Telegram dan banyak lagi.
Sebagai contoh, beberapa buah blok penyesuai CCTV pintar boleh digabungkan bersama blok penyesuaian Telegram serta pemproses peristiwa CAISER untuk membangunkan sistem pengawasan pintar yang mampu mengesan kelakuan manusia dalam persekitaran dan menghantar notifikasi melalui Telegram bagi peristiwa yang bersifat anomali seperti pergerakan individu mundar-mandir dihadapan pejabat pada jam 12 tengah malam.