Teknologi Kesan Emosi Pemandu Kurangkan Risiko Kemalangan Jalan Raya
Oleh Aina Syahirah Haidil & Farah Natasya Ramani
Saban tahun, kadar kemalangan jalan raya menunjukkan peningkatan di negara ini. Hampir setiap hari, kita juga sering disajikan oleh media dengan berita kemalangan maut yang menyayat hati. Perkara ini amat membimbangkan kerana sikap pemandu kerap dikaitkan sebagai punca utama kemalangan jalan raya.
Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman pemanduan ketika berada di United Kingdom, Prof. Madya Dr. Sawal Hamid Md Ali mendapat ilham untuk membangunkan sistem pengesanan emosi pemandu di jalan raya.
Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem (UKM) mula menyimpan hasrat sewaktu melanjutkan pengajian peringkat doktor falsafah di University of Southampton.
“Saya dapati tingkah laku pemandu di UK sangat berbeza berbanding pemandu di Malaysia,” katanya.
Bagi merealisasikan sebuah teknologi baharu yang dapat membantu mengurangkan kemalangan jalan raya, beliau yang juga merangkap ahli penyelidik bagi Rangka Kerja Sains Mega Malaysia tahun 2013 hingga 2050 di bawah Akademi Sains Malaysia, menjalankan beberapa buah kajian berkenaan dengan tingkah laku pemandu dan emosi manusia dalam bidang automatif.
Teknologi mampu kesan emosi pemandu
Menurut beliau, kajian ini dikatakan berbeza kerana ia mendapatkan pengesanan sumber emosi dari manusia dengan menggunakan metode isyarat badan manusia (bio-signal) dari beberapa anggota badan seperti isyarat otak, isyarat dari otot, isyarat dari denyutan jantung dan kulit manusia.
Malah, kaedah ini juga lebih tepat berbanding dengan metode kajian lain yang hanya bergantung kepada ekspresi muka sahaja memandangkan manusia berupaya menyembunyikan riak wajah sebenar.
Kajian telah dijalankan ke atas 60 orang responden di dalam makmal menerusi peralatan audio untuk mengenal pasti ciri-ciri emosi dan perasaan manusia melalui sistem tersebut.
“Antara kaedah yang dicadangkan untuk diaplikasikan di dalam kenderaan adalah kaedah pengkongduksian deria kulit (skin conducting sensor) melalui stereng kereta serta kaedah pengesanan kadar denyutan jantung (ECG) yang mungkin boleh dipasang di bahagian tali pinggang keledar atau kerusi pemandu,” jelasnya.
Sistem ini juga melihat perkaitan antara keadaan persekitaran ketika pemanduan dengan emosi manusia. Malah, beliau turut menerangkan parameter yang digunakan bagi mengukur keadaan persekitaran.
“Kita merancang untuk merekod persekitaran jalan raya ketika itu semasa percubaan sistem ini dilakukan. Misalnya, adakah jalan raya itu sesak atau lenggang? Waktu perjalanan pemanduan itu berlaku, iaitu adakah pada waktu pagi atau malam? Bagaimana keadaan cuaca dan suhu pada waktu itu? Adakah hujan atau panas terik?”,
Beliau juga membuat hipotesis awal bahawa cuaca yang panas atau keadaan jalan raya yang sesak mudah merangsang emosi negatif manusia seperti marah.
Bercakap tentang perancangan mengkomersialkan sistem pengesanan emosi ini, beliau menyatakan projek tersebut kini berada di peringkat kajian pembangunan model pengesanan emosi dan masih dalam proses untuk dipatenkan pada peringkat Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
“Jika permohonan mematenkan projek ini diluluskan barulah saya mula menyempurnakan dan mengimplementasikan sistem yang mengambil masa selama setahun atau dua sebelum bersedia bekerjasama dengan mana-mana syarikat automotif,” tambahnya.
Sumbangan teknologi sistem pengesanan emosi
Dr. Sawal percaya projek ini mampu mengurangkan sikap atau emosi negatif pemandu sekaligus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya yang meningkat semenjak 10 tahun kebelakangan ini.
Beliau juga yakin ia dapat membantu mengubah tingkah laku negatif segelintir pemandu supaya berhemah ketika di jalan raya.
Beliau juga melihat potensi projek ini yang mungkin dapat membantu pihak berkuasa membuat penyiasatan melibatkan kemalangan jalan raya.
“Rata-rata kemalangan yang berpunca daripada pemandu akhirnya disimpulkan sebagai sikap pemandu cuai, terburu-buru, atau mengantuk. Namun, apa sebenarnya yang benar-benar berlaku sebelum kemalangan terjadi? Apakah sebenarnya emosi atau perasaan pemandu sebelum itu?
“Dengan adanya data-data yang diperoleh daripada kotak hitam kenderaan pemandu, sistem dapat memberi bukti yang kukuh kepada pihak penyiasatan,” jelasnya.
Sistem yang dibina ini juga akan memudahkan syarikat insurans mengenal pasti sikap pelanggan mereka di jalan raya.
Tambahnya lagi, kedua-dua pihak mendapat faedahnya daripada sistem. Misalnya, pemandu yang berhemah di jalan raya diberikan insentif oleh pihak insurans.
“Syarikat juga memperoleh keuntungan kerana tidak perlu membayar insurans kepada pemandu tersebut memandangkan kebarangkalian untuk pemandu tersebut terlibat kemalangan yang berpunca daripada sikap agresif adalah rendah. Ganjaran ini dapat menggalakkan masyarakat untuk memandu dan bersikap baik di jalan raya,” jelasnya.