Tengku Mahkota Pahang Berkenan Sempurnakan Pentauliahan Diraja PALAPES


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 10 September 2022 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Diraja Pegawai Kadet PALAPES Universiti Awam Ke-40.

Keberangkatan tiba Tengku Hassanal disambut oleh Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang dan Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Pada istiadat tersebut, seramai 1,625 Pegawai Kadet yang terdiri daripada Pasukan Simpanan Tentera Darat (Wataniah), Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia (PSSTUDM) dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (PSSTLDM) dari 19 Universiti Awam di seluruh Malaysia ditauliahkan.

Istiadat Perbarisan Diraja diadakan di Dataran Gemilang, UKM manakala pelaksanaan Istiadat Pengurniaan Watikah Tauliah diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Pada majlis pentauliahan tersebut, Lt. M. Muhammad Badrul Amin Amati, graduan dari Fakulti Pengajian Islam telah dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik UKM.

Pemilihan Pegawai Kadet Terbaik dibuat berdasarkan kecemerlangan akademik serta terlibat aktif dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh universiti. Selain itu, pegawai kadet mestilah menunjukkan keazaman dan kesungguhan yang tinggi dalam bidang ketenteraan serta mempamerkan tahap jasmani yang terbaik.

PALAPES ditubuhkan sebagai pusat melatih pegawai daripada kalangan mahasiswa IPTA. Penubuhannya adalah merupakan salah satu program Negara melalui Kementerian Pertahanan Malaysia yang berperanan untuk melatih bakal-bakal pegawai dari IPTA tentang aspek ilmu ketenteraan.

Program latihan akan melayakkan pelajar IPTA ditauliahkan sebagai seorang Pegawai Bertauliah berpangkat Leftenan Muda dalam Wataniah, PSSTUDM dan PSSTLDM.

PALAPES juga adalah sebagai perintis jalan untuk mewujudkan satu barisan pegawai simpanan yang sentiasa bersedia untuk digemblengkan bagi menyahut seruan Negara apabila diperlukan. Ia juga merupakan program usahasama di antara tentera dengan IPTA bagi menguatkan benteng pertahananan dan ketahanan negara dari segala ancaman.