Tiada Jalan Singkat Untuk Capai Kejayaan- Tan Sri Abdul Wahid Omar


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 April 2019- Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan, sebaliknya perlu bekerja kuat dan pintar untuk mencapai kecemerlangan, kata Pengerusi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau menasihatkan supaya jangan berhenti untuk belajar dan manfaatkan teknologi sebaiknya dalam mencapai kejayaan.

“Teruskan berinovasi dan berfikir di luar kotak dalam menyelesaikan masalah. Fokus kepada tugas semasa dan buat yang terbaik. InsyaAllah, reputasi akan mendahului anda,” katanya semasa menyampaikan Syarahan Kepimpinan bertajuk Kepimpinan Mampan di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran baru-baru ini.

Selain itu, beliau menyifatkan ciri-ciri pemimpin yang baik dan mampan perlu ada tiga perkara iaitu berintegriti, berkebolehan dan bersikap rendah diri.

“Anda tidak perlu menjadi seorang pemimpin yang lantang bersuara untuk menjadi efektif, sehingga menjadi counterproductive, sebaliknya perlu mendengar sebelum memberi pandangan atau membuat keputusan.

“Seorang pemimpin yang berkesan perlu turun padang dan menjadi contoh serta menunjukkan cara bagaimana sesuatu perkara itu dapat dilaksanakan,” ujarnya.

Katanya, pemimpin yang mampan perlulah bersikap profesional, tulus, ikhlas dan berterus terang dengan Lembaga Pengarah, rakan pengurusan dan rakan sekerja.

“Jangan teragak-agak memohon maaf dan mengaku sekiranya anda telah membuat silap. Belajar dari kesilapan tersebut kerana kita manusia biasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa untuk membangunkan bakat dan kepimpinan yang mampan mestilah memilih pemimpin yang tepat untuk sesebuah organisasi dan membangunkan proses perwarisan kepimpinan serta memberi peluang kepada golongan muda untuk memimpin.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan pegawai-pegawai UKM.