Tiga Isteri Pemimpin Negara Luar Kunjungi Pusat PERMATApintar Negara

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 September 2016 – Tiga isteri pemimpin negara dari Nauru, Palestin dan Lesotho mengunjungi Pusat PERMATApintar Negara (PERMATApintar), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Asean Blue Strategi 2016, baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwa, Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata, lawatan tersebut membuka peluang kepada PERMATApintar UKM untuk menjalankan kerjasama dengan negara luar dalam mendidik pelajar pintar yang berbakat besar.

“UKM berpeluang membawa pelajar dari Khazakstan, Afrika Selatan, Mozambique, Singapura, Brunei, India, dan Mexico menyertai program summer camp yang diadakan di PERMATApintar.

“Sepanjang program itu (summer camp), mereka mendapat pengalaman akademik dan pengetahuan tentang warisan budaya Malaysia dari sudut seni, makanan dan lawatan ke tempat bersejarah yang bertujuan untuk mengajar mereka menghargai kepelbagaian yang wujud di dunia ini,” katanya.

Sistem pembelajaran di PERMATApintar Negara mempunyai aktiviti kurikulum yang padat bagi melahirkan pelajar yang berpotensi dalam menghadapi cabaran abad ke-21.

Pada lawatan tersebut, mereka telah dipertontonkan dengan demostrasi pelajar PERMATApintar yang menjalankan kajian sains dan teknologi.

Kajian yang dilakukan itu adalah berkaitan tindak balas fizik dengan menggunakan peralatan rumah.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun dan Ketua Setiausahanya, Dr Rose Lena Lazemi dan Pengarah Pusat Permata Pintar Negara UKM Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.ukmnewsportal-bm
2

3

4