Timbalan Menteri Kewangan II Beri Peluang Pelajar UKM Suara Pandangan
Oleh Nur Syafawati Mohd Kahar
Foto oleh Ikhwan Hashim
BANGI, 14 Sept 2020 – Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah meminta para pelajar membuka minda dalam memberikan pandangan, cadangan dan persoalan yang berkaitan dengan belanjawan negara 2021.
Menurut beliau, suara golongan muda terutamanya pelajar universiti amat penting untuk didengari dan perlu diambil perhatian.
“Anda hanya ada pengalaman sekali sahaja di universiti… anda hanya akan dapat peluang menjadi pemimpin mahasiswa sekali sahaja. Jadi, buatlah sesuatu yang dapat membanggakan diri anda, seterusnya membanggakan keluarga dan masyarakat sekeliling.
“Ingat, kalau anda seorang pemimpin mahasiswa dan hanya pandai bercakap pasal kuasa autonomi dan pandai bercakap pasal peruntukan universiti, tetapi anda tidak mempunyai kelayakan, orang tidak akan lihat kepada diri kita, katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Luncheon Talk Bersama Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau turut menasihatkan para pelajar untuk berlajar bersungguh-sungguh dan mendapatkan gred yang cemerlang agar dapat menjadi seorang pemimpin yang dihormati dan disegani oleh masyarakat.
Pada majlis tersebut, meluangkan masa beramah mesra bersama lebih 40 orang wakil dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UKM.
Pelbagai soalan yang telah diajukan antaranya seperti peruntukan untuk kebajikan pelajar, menaiktaraf kemudahan pelajar, baucer buku dan bantuan biasiswa.
Sementara itu, Presiden MPP, Muhammad Akmal Hakim Adnan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Menteri Kewangan II di atas kesudian beliau bertemu dengan pelajar UKM dan memberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan soalan berkaitan dengan belanjawan 2021.
Turut hadir pada program itu ialah Ahli Lembaga Universiti, Dr. Nirwan Noh, Timbalan Naib Canselor Jaringan, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah dan Bendahari UKM, Puan Norini Mohamad.