Tindakan Sekatan Perlu Diharamkan: Tun M
Oleh Shahfizal Musa
Foto Abd Raai Osman & Izwan Azman
BANGI, 11 Februari 2014 – Tindakan mengenakan sekatan ke atas sesebuah negara tidak ubah seperti suatu senjata peperangan kerana ia amat memudaratkan negara mangsa dan perlu diharamkan.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menyampaikan syarahan umum mengenai Hubungan Malaysia-Cuba di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini menceritakan bagaimana beliau sebagai perdana menteri pada masa itu telah mengeratkan hubungan dengan Cuba walaupun terdapat sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas negara Amerika Latin itu.
Dan sekatan yang AS kenakan ke atas negara-negara seperti Iraq telah membunuh berjuta orang yang tidak bersalah. Sekatan yang dikenakan menghalang sesebuah negara untuk maju malah telah menyekat kemasukan keperluan asas seperti makanan dan ubatan.
Ada sesuatu yang tidak kena dengan logik mengenakan sekatan, tambah beliau.
Katanya seorang yang membunuh seorang lain boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjarakan seumur hidup. Tetapi apabila membunuh satu juta orang yang tidak berdosa dengan mengenakan sekatan ia dianggap sebagai wira.
Dengan mengenakan sekatan seluruh negara telah dihukum. AS melakukannya dengan harapan negara terbabit akan akur pada telunjuknya.
Malangnya sekatan hanya memberi kesan yang sebaliknya. Ia membunuh orang yang tidak berdosa dan pada masa sama meningkatkan populariti pemimpin negara mangsa.
Dr Mahathir berkata bekas pemimpin Iraq, Saddam Hussein menjadi lebih popular apabila sekatan dikenakan begitu juga dengan pemimpin Rusia, Vladimir Putin.
Kerajaan AS juga akan cuba menggulingkan kerajaan yang tidak mahu mengikut telunjuknya untuk mengekalkan kekuasaan pengaruhnya di dunia.
Bagaimanapun tindakannya itu hanya membawa lebih banyak masalah kepadanya.
Beliau mengkritik Pentadbiran Amerika Syarikat yang sering mengajar negara lain mengenai hak asasi manusia, sedangkan ia sendiri tidak mengamalkannya.
AS perlu sedar bahawa apabila ia bersyarah kepada negara lain mengenai hak asasi manusia, ia perlu melihat dirinya sendiri dahulu. “Amerika Syarikat adalah seperti seekor ketam yang cuba mengajar anaknya berjalan lurus.”
Tun Mahathir mengingatkan bahawa Amerika sendiri menggunakan penyeksaan ke atas tahanannya di Guantanamo Bay (suatu kawasan penaklukannya di Cuba) sebagai tindakan yang sah.
Ia harus menangani isu itu dahulu sebelum menuding jari ke atas negara lain. Agak sukar untuk orang ramai mendengar kritikannya apabila ia sendiri melakukan perkara-perkara yang jauh lebih teruk.
Beliau memberi contoh Malaysia yang mempunyai konflik dengan negara-negara jirannya di masa lalu. Tetapi ia telah berjaya menyelesaikannya melalui mahkamah antarabangsa walaupun mahkamah itu membuat pertimbangan yang kurang bijak seperti dalam hal Pulau Batu Putih.
Malaysia juga telah berunding dengan Thailand dan Brunei untuk mencari penyelesaian tuntutan wilayah di sempadan bertindih mereka yang dapat dipersetujui bersama.
Beliau berkata Amerika Syarikat sekarang mempunyai lebih daripada 1000 pangkalan tentera di seluruh dunia.
Tun Mahathir adalah penaung Yayasan Perdana yang giat dengan usaha untuk mengharamkan peperangan.
Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Duta Cuba Ruben Perez Valdes dan wakil-wakil beberapa negara Amerika Latin turut hadir mendengar syarahan itu.