Tingkatkan Kemahiran Digital Usahawan Pelancongan Desa
Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim
Dalam usaha untuk memajukan ekonomi digital, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSMEs) dari keusahawanan berasaskan komuniti (CBE) perlu mahir dalam pelbagai kemahiran termasuk literasi era digital.
Menyedari keperluan ini, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan bengkel maya APEC mengenai keusahawanan berasaskan komuniti dalam pelancongan luar bandar melalui pemerkasaan digital.
Program yang telah menghimpunkan lebih dari 200 peserta daripada 21 ekonomi di bawah APEC mengupas, berdebat, berkongsi isu pelancongan luar bandar terpencil dari pelbagai aspek dari konteks pelancongan luar bandar, keusahawanan dan juga ekonomi digital.
Pada majlis penutupan bengkel tersebut, Naib Canselor UKM, Professor Dato Ts. Dr Ekhwan Toriman berkata pelancongan berasaskan komuniti (CBT) dan keusahawanan berasaskan komuniti merupakan medium penting untuk merealisasikan potensi dalam komuniti terpinggir dan kurang bernasib baik yang terputus dari ekonomi arus perdana.
“Bengkel maya ini memberi peluang kepada CBE untuk tingkatkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
“Bengkel ini juga bertujuan untuk membina kemahiran dan kecekapan masyarakat desa dalam menjalankan perniagaan dengan pengetahuan digital, sekaligus merapatkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar,” tambahnya.
Para peserta turut dihidangkan dengan perkongsian AirBnb dalam pelancongan komuniti berganding dengan hoocay.com yang menawarkan platform digital untuk pengusaha rumah tumpangan luar bandar.
Bengkel maya yang mendapat tajaan daripada APEC ini diharap dapat memberi pencerahan tentang pentingnya pendigitalan dalam keusahawanan berasaskan komuniti dalam pelancongan luar bandar.