Tujuan GST Memperbaiki Ekonomi Negara – Forum Ekonomi

030715_GST-Malaysiia_01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 1 Julai 2015 – Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bertujuan menambahkan pendapatan bagi memperbaiki perkhidmatan serta menyediakan prasarana yang berkualiti untuk rakyat dan akan membawa negara menghampiri taraf negara maju.

Rakyat juga perlu sedar bahawa GST bukan bertujuan sengaja menderitakan hidup harian mereka kerana mustahil ada mana-mana kerajaan yang sanggup makan diri, demikian kesimpulan peserta-peserta  forum Program Advokasi Ilmuwan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada 30 Jun lalu.

Forum tersebut yang bertajuk GST: Kemelut Dan Langkah Ke Hadapan, bersetuju bahawa perlu ada usaha secara besar-besaran bagi menjelaskan kepada rakyat cara GST dikendalikan dan faedahnya kepada orang ramai.

Seorang ahli panel, Prof Dr Kamil Md Idris berpendapat GST diperkenalkan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang membabitkan perubahan struktur kutipan dan agihan cukai bagi memastikan tidak berlaku pengelakan cukai.

“Di bawah sistem lama (SST), rakyat dibenarkan membuat tafsiran cukai perniagaan sendiri, supaya kita dapat pastikan sendiri banyak mana cukai perlu dibayar. Bagaimanapun rakyat jelata belum ada sikap jujur mengenai cukai, maka wujudnya ‘ekonomi terlindung’ atau ‘Black Economy’ yang berjumlah RM60 billion,”  kata Prof Kamil dari Universiti Utara Malaysia (UUM).

Menurut beliau GST pada umumnya bersifat adil, kerana cukai dikenakan lebih terhadap golongan yang lebih berbelanja, dan hasil kutipan ini akan sampai ke orang kurang berada.

“Dalam sistem SST terdapat ketirisan berlaku antara pengilang, pengedar dan pemborong. Tetapi dengan GST orang yang buat perniagaan haram pun kena bayar GST.

“ Maka mereka yang mengelak cukai mesti bayar 6% GST, termasuk mereka dalam ekonomi haram.  Dari RM60 billion dapat kutip RM32 billion,” Prof Kamil menjelaskan.

Seorang lagi peserta Pakar ekonomi UKM Prof Dr Jamal Othman berpendapat GST merupakan sistem cukai yang lebih menyeluruh yang akan menambahkan pendapatan kerajaan.

Namun demikian anggota panel mengakui beberapa kelemahan wujud dalam pelaksanaan GST, seperti kekeliruan yang berlaku mengenai barangan mana yang dikecualikan GST dan cara mencatat rekod perniagaan.

Mengulas mengenai perkara ini, Prof Jamal menga­takan kaedah GST terbaik ialah mengenakan cukai terhadap semua barang dan perkhidmatan  seperti dilaksanakan di negara-negara maju.

“Setiap tanda harga disaran turut ditulis berapa jumlah GST dikenakan, tidak sekadar tertera ‘tidak termasuk GST’.

“Masalah lain apabila peniaga sekali menaikkan harga barangan, terlalu susah untuk turun kembali. Justeru pengguna perlu memainkan peranan manakala NGO wajar dipertimbangkan diberi peruntukan undang-undang bagi memantau lebih efisien peniaga tamak.

Menurut beliau, sejak dikuatkuasakan pada 1 April lalu, masih banyak kelemahan GST.

Prof Dr Asan Ali Gholam Hassan dari pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pula menegaskan peranan pengguna untuk memantau harga barangan dan perkhidmatan.

“Persa­tuan pengguna perlu main peranan yang lebih besar dan tidak hanya mengharapkan kerajaan  untuk mengawal harga.

“Dalam banyak perkara dan isu, persatuan peniaga dilihat lebih kuat dan bersuara daripada persatuan pengguna dalam setiap tindakan mereka,” kata beliau.

Penolong Kanan Pengarah Kastam II, Mohammad Sabri Saad khuatir bahawa rakyat sangsi tentang kesahihan bayar GST.

“Ketika sistem SST digunakan, cukai tidak dikutip dengan telus dan menyeluruh, maka tahap pendapatan kerajaan rendah. Sekarang dengan GST kita patut boleh mengutip RM220 billion. Kita target RM2 hingga 3 billion lebih dari sasaran mulai April, kata Sabri.

Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan M.Gunaselan menyebut tentang meningkatnya bilangan aduan yang diterima dari pengguna mengenai harga barang.

“Lebih 2,000 aduan diterima sejak April. Setiap hari sekurang-kurangnya 10 panggilan diterima. Aduan utama ialah  manipulasi harga, dengan 60 kes siasatan dibuka,” Gunaselan menerangkan.

Datuk Zaini Hassan dari Kumpulan Utusan bertindak sebagai pemudah forum tersebut yang dianjurkan bersama oleh UKM, Majlis Profesor Negara, RTM dan Utusan Malaysia.
ukmnewsportal-eg

030715_GST-Malaysiia_02

030715_GST-Malaysiia_03