Tujuh Penyelidik Muda Bersama 24 Bakal Saintis ke London Disember ini
Oleh Asmahanim Amir
Gambar oleh Ikhwan Hashim
BANGI, 13 Oktober 2016 – Seramai tujuh penyelidik muda bersama 24 pelajar cemerlang yang menyertai Bengkel Minda Nobel PERMATA Ke-4 2016 telah terpilih ke PERMATA Science Institute Workshop di London pada Disember ini.
Mereka akan membentangkan kertas cadangan penyelidikan yang telah dipilih oleh oleh para juri di bengkel tersebut dan kertas cadangan itu akan dinilai oleh barisan panel juri yang dianggotai oleh barisan profesor terkemuka dalam bidang masing-masing.
Bengkel yang akan diadakan di London itu diadakan dengan kerjasama The Royale Society.
Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata selain dari tujuh penyelidik dan 24 pelajar cemerlang, enam orang guru pengiring juga akan turut di bawa ke London bagi menjalankan penyelidikan tersebut.
“Saya difahamkan, mereka semua akan digabungkan dalam beberapa kumpulan dan akan bekerjasama menjalankan penyelidikan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Penutup Bengkel Minda Nobel Permata Ke-4 2016 di sini baru-baru ini.
Katanya, semasa di London nanti, semua yang terpilih akan bertemu dengan beberapa pemenang Anugerah Nobel termasuk Sir Venkatraman Ramakrishnan yang juga merupakan Presiden The Royale Society London.
“Mereka juga akan dibawa melawat beberapa makmal seperti Cavendish Lab di University of Cambridge dan Chemistry Lab di Oxford University.
“Saya pasti ini akan menaikkan lagi semangat murid-murid terutamanya untuk terus berkecimpung dalam bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” jelasnya.
Beliau berkata lawatan itu juga akan memberi inspirasi kepada penyelidik muda untuk mencari ruang dan peluang untuk membina pengalaman bersama dengan profesor terkemuka dunia dalam bidang masing-masing.
“Ini merupakan satu pengalaman yang unik dan jarang dapat diperolehi oleh murid sekolah, guru dan penyelidik muda,” katanya.
Beliau memberitahu bahawa dalam bengkel Minda Nobel, penyelidik muda bertanggungjawab membina satu kertas cadangan penyelidikan berasaskan STEM yang boleh menyelesaikan masalah yang wujud di Malaysia.
“Kertas cadangan penyelidikan tersebut seterusnya telah dikongsi bersama murid dan guru agar kedua kumpulan ini faham tentang penyelidikan yang akan dijalankan,” terangnya.
Bengkel selama empat hari yang bermula pada 19 September lepas telah menghimpunkan seramai 400 murid dari pelbagai sekolah berasrama penuh, sekolah berprestasi tinggi, sekolah menengah sains, Maktab Rendah Sains Mara, Kolej PERMATApintar dan ASASIpintar serta 40 orang guru dan 40 penyelidik muda dari lima univeriti penyelidikan termasuk UKM.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dato’ Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat dan Pengarah PERMATApintar Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak.