Tun Ahmad Sarji Sumbang Koleksi Kepada UKM
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman
BANGI, 2 Oktober 2018 – Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid telah menyumbang koleksi peribadi yang diterimanya sepanjang berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan swasta kepada UKM untuk kegunaan warga UKM dan masyarakat.
Koleksi yang berjumlah 7,000 naskah dalam bentuk cenderamata, buku, jurnal, majalah, pelbagai dokumen termasuk teks ucapan, laporan dan koleksi gambar telah ditempatkan di Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji, Perpustakaan Tun Seri Lanang.
Tun Ahmad Sarji dalam ucapannya berkata, terdapat kira-kira 2,000 koleksi dalam bentuk multimedia, antaranya video rakaman persembahan Tan Sri P. Ramlee dan Saloma semasa kempen pilihan raya pertama di Langkawi pada tahun 1955.
“Semua koleksi video dalam proses penukaran format ke bentuk digital dan akan diserahkan kepada perpustakaan apabila siap kelak,” katanya.
Katanya, beliau memilih UKM untuk menyimpan koleksi peribadanya memandangkan beliau telah berkhidmat sebagai Pro-Canselor di UKM selama 11 tahun bermula tahun 2007 selain universiti itu adalah sebuah universiti yang terkenal dalam memelihara legasi sejarah dan ketokohan sarjana.
“Saya yakin koleksi ini akan dapat dimanfaatkan oleh warga UKM khususnya dan masyarakat umumnya, bukan sahaja sebagai rujukan tetapi juga untuk pengembangan ilmu.
“Saya berharap perpustakaan UKM akan menghidupkan ruang ini dengan pelbagai aktiviti keilmuan selaras dengan hasrat saya untuk menjadikan koleksi ini sebagai rujukan dalam bidang kepimpinan pentadbiran awam, korporat, budaya dan warisan, pentadbiran Islam, kemasyarakatan dan sukan,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, pelbagai penyelidikan boleh dilakukan dengan merujuk koleksi tersebut.
“Saya mengalu-alukan penyelidik dari pelbagai bidang menggunakan koleksi ini untuk menyelidik, mengadakan perbincangan dan mengadakan aktiviti yang berkaitan,” katanya.
Katanya, sebagai seorang tokoh besar negara, koleksi Tun Ahmad Sarji bukan sekadar untuk tatapan semata-mata, tetapi koleksi itu adalah sejarah negara yang harus dihargai.
Majlis Perasmian Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Canselor UKM.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud.