UKM adakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat untuk Kesejahteraan Rakyat Malaysia


Oleh Nur Batrisyia
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Jun 2021 – Bagi memohon kesejahteraan rakyat Malaysia umumnya dan warga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) khasnya, UKM telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat baru-baru ini.

Majlis itu telah menghimpunkan lebih 500 warga UKM dan alumninya yang hadir secara maya iaitu melalui aplikasi Zoom dan secara langsung di lama Facebook UKM.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah dalam ucapannya berkata itu adalah salah satu inisiatif yang dilakukan oleh UKM untuk memohon perlindungan dari Allah agar pandemik Covid-19 berakhir segera.

“Kini, dengan munculnya varian-varian baharu, kita perlu lebih berhati-hati, perlu lebih berdisiplin dalam mengamalkan SOP (prosuder operasi standard). Kerjasama semua untuk patuh kepada arahan total lockdown yang dikeluarkan oleh kerajaan amat diperlukan disamping mengekalkan produktiviti semasa Bekerja Dari Rumah,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Tabung Kebajikan Pelajar HEP dan Tabung Kebajikan Pelajar Alumni bagi membantu universiti mengendalikan proses ujian saringan COVID-19 dalam kalangan pelajar termasuklah menjaga kebajikan mereka.

“Dana yang disumbangkan itu akan digunakan untuk membiayai kos makanan dan keperluan harian pelajar serta memastikan kebajikan mereka sepanjang tempoh PKP ini dijaga dengan baik. Sehingga kini, seramai 5,640 orang pelajar masih lagi berada di kampus,” ujarnya.

Sebagai sebuah universiti watan, katanya, UKM turut memainkan peranan dalam membantu negara bagi meningkatkan kapasiti menguji sampel pesakit bagi mengesan Covid-19 menerusi Institut Biologi Molekular (UMBI) dan juga Jabatan Perkhidmatan Makmal Diagnostik di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

“Setakat ini, UKM telah berjaya melakukan transformasi prasarana sedia ada mengikut trend keperluan semasa. Dewan Gemilang UKM telah terpilih sebagai Pusat Pemberian Vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah bermula pada 5 Mei yang lalu.

“HCTM UKM juga telah bersedia untuk memberi vaksin secara pandu lalu. Disamping itu, UKM menerusi HCTM menjadi pelopor kepada pemberian vaksin secara bergerak atau ‘mobile’ yang merupakan prakarsa pertama di Malaysia.

“Selain itu, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM akan ditukar buat sementara waktu menjadi Hospital Covid-19 dibawah Ordinan Darurat bagi membantu pihak kerajaan menampung keperluan kesihatan semasa negara.

“Demikianlah besarnya peranan yang dimainkan oleh UKM bagi menyumbang kepakaran, kemudahan dan juga kebitaraannya kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Justeru itu, beliau memohon kerjasama para alumni UKM agar dapat sama-sama membantu meningkatkan kefahaman kepada masyarakat dengan menyalurkan maklumat yang tepat tentang kebaikan vaksin supaya lebih ramai warga Malaysia mendaftar dengan segera.

“Adalah menjadi tanggungjawab setiap dari kita semua untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok,” katanya.