UKM-AKPK Jalin Kerjasama Laksana Modul Pengurusan Kewangan Peribadi

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 30 Oktober 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi melaksanakan Modul Pengurusan Kewangan Peribadi AKPK kepada pelajar UKM di bawah program CITRA.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata perkongsian strategik melalui perlaksanaan modul tersebut adalah sangat relevan dan tepat pada masanya terutamanya dalam usaha mempersiapkan pelajar dalam menghadapi tuntutan perubahan masa kini.

“Kita laksanakan modul ini untuk memberi kesedaran tentang pentingnya ilmu pengurusan kewangan peribadi kepada mahasiswa dan warga UKM memandangkan meningkatnya masalah kehidupan yang dikaitkan dengan pengurusan kewangan.

“Selain itu, kursus ini juga akan memberi pendedahan kepada warga universiti tentang kaedah mengurus kewangan dan membuat keputusan kewangan yang baik,” katanya semasa majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UKM dengan AKPK di sini baru-baru ini.

Beliau berkata UKM adalah universiti yang pertama menawarkan modul AKPK sebagai kursus CITRA.

“Kita juga akan turut mengadakan program pendidikan dan latihan kewangan kepada semua warga UKM dan akan turut menjalankan program ToT (Training of Trainers) kepada bakal tenaga pengajar untuk kursus ini,” terangnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata AKPK mendapati pendidikan kewangan perlu diterapkan dengan lebih awal khususnya diperingkat pengajian tinggi sebagai langkah untuk menangani masalah kesukaran membayar balik pinjaman.

Katanya modul tersebut adalah bagi memastikan para pelajar dilengkapi dengan ilmu pengurusan kewangan di peringkat universiti lagi.

“Saya bangga kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan UKM khususnya dalam memberi kesedaran dalam kalangan pelajar dan kakitangan UKM tentang betapa pentingnya pendidikan kewangan.

“Saya harap kerjasama ini akan berjalan lancar dan modul pengurusan kewangan peribadi dapat diterapkan kepada semua pelajar UKM,” katanya.ukmnewsportal-bm
2

3