UKM Asean Art Festival Program Universiti Berimpak Tinggi

1
Oleh : Nadia Sapuan
Gambar:Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 9 Disember 2016 – Sebanyak tujuh buah negara Asean menyertai UKM Asean Art Festival anjuran Artisukma dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia yang berlangsung baru – baru ini di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR).

Ketua pengarah program, Nur Syamimi Syahira berkata program tersebut bertujuan untuk memperkenalkan budaya negara Asean kepada masyarakat dalam dan luar kampus di samping menjalin hubungan dua hala dengan negara – negara Asean.

“Menerusi program ini juga, kita dapat menjaga mutu nilai kesenian dan kebudayaan selain memperkenalkan kesenian dan kebudayaan negara kepada orang luar dan generasi muda masa kini.

“Saya berharap agar program kesenian sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan ini adalah sebuah program berimpak tinggi kepada universiti,” katanya.

Program yang diadakan pada kali ke 5 ini membawa tema seni mempertahankan diri dan setiap persembahan yang ditunjukkan mengandungi unsur kepahlawanan atau gerak geri seni mempertahankan diri.

Bagi Hani Farhana, pelajar tahun dua pengajian antropologi dan sosiologi, program tersebut patut diteruskan kerana berupaya menjadi wadah untuk mendalami seni kebudayaan masyarakat dari negara luar yang tidak diketahui.

UKM Asean Art Festival berlangsung selama lima hari dan melibatkan Malaysia, Indonesia, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand dan Brunei. ukmnewsportal-bm
2

3