UKM bakal Anjur Kejohanan Tarian Singa
Oleh Asmahanim Amir
Foto Sekretarian Pesta Ang Pow
BANGI, 31 Januari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), melalui Sekretariat Pesta Ang Pow, akan menganjurkan Kejohanan Tarian Singa pada 24 Februari ini di Panggung Seni, UKM.
Suatu kem khas akan dianjurkan sebelum pertandingan itu dijalankan, iaitu dari 14 hingga 17 Februari, di Persatuan Kesenian Gui Qing, Negeri Sembilan.
Terdapat tujuh pasukan tarian singa yang melibatkan 14 peserta akan mengambil bahagian.
Sepanjang sesi latihan tersebut, peserta bukan sahaja mempelajari asas-asas serta teknik-teknik tarian singa, tetapi juga belajar tentang budaya tarian singa supaya dapat menjiwai seni tarian singa yang merupakan kesenian budaya kaum Cina.
Selain itu, satu Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina dengan tema ‘Warisan Kebudayaan’ akan diadakan pada 5 Mac di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, UKM.
Majlis makan malam itu bertujuan untuk mengukuhkan pemahaman budaya Tiong Hua secara turun temurun dan sentiasa diingati oleh generasi akan datang.
Ia akan diadakan dalam konsep makan besar kaum Cina seperti malam sebelum sambutan Tahun Baru Cina.
Tiket untuk makan malam tersebut dijual pada harga RM50 seorang dan RM488 untuk satu meja (10 orang).
Bagi pelajar universiti, harga tiket adalah RM40 seorang dan RM388 untuk satu meja.