UKM Bakal Bina Kompleks Alumni

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 28 Oktober 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal membina Kompleks Alumni yang akan dijadikan sebagai Pusat Latihan dan Pembangunan Alumni & Pelajar dengan kos kira-kira RM10 juta.

Kompleks yang bakal dimulakan pembinaan pada tahun hadapan itu akan menggunakan 100 pertus dana yang disumbangkan oleh para alumni UKM.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Ir. Dr. Mohd Suhaimi Ab Rahman berkata bagi mengumpul dana pembangunan Kompleks Alumni, Pusat Perhubungan Alumni telah merangka aktiviti-aktiviti dalam meneguhkan sumber dana untuk pembinaan dan menjaga kompleks tersebut dalam memastikan fungsinya sebagai pusat gerakan alumni tercapai.

“Antara aktiviti yang telah dirancangan untuk pengumpulan dana adalah program Santapan Di Raja, penerbitan buku mewah, kutipan derma, dinding tersohor, jejak alumni, kempen derma, skim potongan gaji, wakaf kompleks, Kursi Alumni dan kolaborasi syarikat alumni

“Sehingga kini kita telah mengumpul kira-kira 10 peratus daripapada jumlah yang diperlukan dan kita akan mulakan pembinaannya pada tahun hadapan melalui projek Fasa 1A,” katanya.

Beliau berkata dalam fasa 1A, struktur bangunan asas akan dibina yang merangkumi Bilik Seminar, Kedai Alumni, Galeri (Wall of Fame), Pejabat Pengurusan Alumni dan lain-lain seperti surau dan tandas.

“Fasa 1B pula akan bertumpu kepada pembinaan dewan dan makmal termasuklah lanskap dan pagar. Fasa 2 akan dimulakan apabila Fasa 1 siap sepenuhnya yang merangkumi perabot dan kelengkapan makma,” ujarnya.

Prof. Ir. Dr. Mohd Suhaimi berkata dengan bilangan alumni UKM melebihi 200,000 dari dalam dan luar negara, UKM memerlukan satu kompleks yang boleh menghubungkan mereka dengan aktiviti-aktiviti yang seterusnya memberi manfaat kepada semua.

“Jadi, Kompleks Alumni ini akan menjadi pintu masuk (Gate Way) kepada alumni yang ingin berkolaborasi dengan UKM dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, pendidikan dan khidmat masyarakat, selain memberi manfaat kepada warga UKM, pelajar dan masyarakat luar,” katanya.

Ujar beliau, apabila siap kelak, kompleks itu akan menjadi pusat yang menghubungkan semula alma mater dan alumni.

“Mereka (alumni) adalah aset penting bagi sesebuah universiti. Oleh itu, adalah penting untuk menghubungkan semula alumni bagi membentuk satu hubungan yang organik yang berteraskan kepada manfaat untuk semua,” katanya.

Kepada para alumni yang ingin menyumbang dana dalam pembinaan kompleks ini, boleh terus menghubungi Pusat Perhubungan Alumni UKM di talian 03-89214520/ 5163 atau e-mel kepada alumni@ukm.edu.my. Selain itu, para alumni juga boleh terus memberi sumbangan ke Tabung Kompleks Alumni melalui akaun CIMB Bank Bendahari UKM iaitu 98945112004000