UKM Bakal Hasilkan Cecair Pencuci Luka Diabetis


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

CHERAS, 15 Julai 2019 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) melalui Fakulti Perubatan (FPER) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjalankan penyelidikan baharu bagi menghasilkan pencuci luka khas yang mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pesakit.

Kajian yang dijalankan bersama Cell Tissue Technology Sdn Bhd itu mempunyai nutrien-nutrien yang diperlukan oleh badan supaya proses penyembuhan berada pada tahap yang optimum.

Ketua Unit Trauma dan Kecederaan Kaki, Buku Lali / Rawatan Kaki Diabetes, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM, Prof Madya Dr Mohd Yazid Bajuri berkata, penyelidikan yang dibuat adalah bagi menghasilkan Novel Woundcare Solution (solution) yang dapat membunuh semua bakteria yang ada dalam luka pesakit diabetis.

“Seperti yang kita sedia maklum, untuk penyakit kencing manis (diabetis), penjagaan kesihatannya adalah bermula dengan solution yang digunakan. Kita perlukan penjagaan yang optimum yang boleh mengatasi semua bakteria dan kuman yang ada pada luka tersebut.

“Sekarang ini apa yang ada dipasaran (solution), ianya spesifik kepada bakteria-bakteria tertentu sahaja. Bakteria itu bercampur, dan bila bercampur, agak sukar bagi solution yang ada melawan bakteria tersebut, dan akan menyebabkan luka itu akan lambat baik,” katanya kepada media selepas Majlis Menandatangangi Perjanjian Penyelidikan antara UKM dengan Cell Tissue Technology Sdn Bhd dan NovaMedika Sdn Bhd baru-baru ini.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah tersebut (luka lambat sembuh), Jabatan Ortopedik HCTM mengambil inisiatif untuk membangunkan satu solution yang mampu mengatasi semua permasalahan itu bersama saintis yang mahir dalam bidang tersebut.

“Kita mengharapkan kajian ini akan dapat menzahirkan satu solution yang mampu melawan semua bakteria dengan harga yang murah.

“Dalam perancangan kami, solution dengan 300ml yang mungkin boleh dipakai untuk dua minggu, akan dijual dengan harga kira-kira RM20. Bagi saya, itu adalah berkemampuan,” katanya.

Beliau berkata, penyelidikan itu akan berlangsung selama satu hingga tiga tahun, dan pasukannya telah mula dengan beberapa peringkat awal iaitu melakukan ujian kepada beberapa solution yang telah ada di pasaran.

“Kita tengok solution tersebut, apa sebenarnya kreteria yang ada untuk melawan bakteria-bakteria dengan menggunakan kaedah reverse engineering. Daripada situ, kami dapat melihat solution lain, bagaimana ia bertindak.

“Kami lihat mana kelemahan yang boleh kami tambah baik dan kami bangunkan satu solution yang lengkap yang boleh lawan semua bakteria tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Cell Tissue Technology Sdn. Bhd., Dr Khairul Idzwan Baharin berkata, pihak industri sentiasa mengalu-alukan kerjasama bersama universiti dalam menjalankan penyelidikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Untuk kerjasama ini, kita sangat berbesar hati kerana kita akan menghasilkan satu jenis solution yang murah untuk merawat luka diabetis, dan kita tahu masyarakat pun menantikan produk ini.

“Kerjasama ini akan diterjemahkan kepada mutu dan kualiti produk tersebut dan juga harga yang kita boleh tawarkan kepada pasaran nanti. Jadi, pada penghujungnya dengan adanya industi dalam kerjasama ini menunjukkan bahawa produk yang akan dihasilkan nanti berunsurkan dan berteraskan pengkomersilan.

“Kita tidak mahu produk ‘timbang kilo’ menguasai pasaran, sebaliknya kita perlukan produk yang ada evident base… maksudnya produk yang terbukti selamat, berkesan, dan mutu serta kualitinya adalah tinggi,” jelasnya.

Untuk kerjasama penyelidikan antara UKM dan NovaMedika, satu aplikasi sistem telefon pintar iaitu Web Design akan dibangunkan bagi memudahkan pengurusan pengedaran ubat-ubatan atau implant medical. Sistem aplikasi ini adalah sebagai pengantara diantara jurujual syarikat perubatan, pembekal, pesakit, dan pegawai perubatan.