UKM Bangunkan Sistem Ramalan Pelbagai Bencana


Oleh Murniati Abu Karim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 28 Februari 2023 – Pasukan penyelidik dari Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) membangunkan Kuala Lumpur Multi-hazard Platfrom (KL-MHP) bagi mengurus dan menyampaikan risiko yang lebih baik dalam meningkatkan daya tahan bencana di bandar berkenaan.

Menurut ketua penyelidik dari Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI-UKM) Professor Dr. Joy Jacqueline Pereira, KL-MHP adalah suatu sistem berasaskan web yang memaparkan ramalan cuaca bagi tempoh tiga hari ke hadapan pada skala yang terperinci.

Tambahnya, KL-MHP memaparkan amaran bencana secara menyeluruh yang merangkumi ancaman banjir, tanah runtuh dan atmosferik seperti gelombang panas dan pencemaran udara.

“Sistem ini mengadaptasi model meteorologi, atmosfera dan bencana berdasarkan iklim tropika di Malaysia dan Asia Tenggara seterusnya disepadukan ke dalam platform yang sama, iaitu KL-MHP.

“Berbeza dengan ramalan cuaca secara am oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMsia), KL-MHP membolehkan warga Kuala Lumpur mendapat ramalan yang terperinci sehingga ke skala kawasan perumahan,” katanya.

Katanyanya, data daripada KL-MHP digunapakai oleh Skuad Penyelamat Kuala Lumpur di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membuat persediaan rapi untuk mengambil tindakan respon terhadap bencana bandar seperti banjir dan tanah runtuh.

“Di samping itu, pihak DBKL juga dapat membuat keputusan berkaitan preancangan gunatanah dan kawalan pembangunan di Kuala Lumpur dengan lebih sempurna dan berasaskan fakta sains bagi menangani isu bahaya iklim seperti banjir, tanah runtuh, angin kencang dan haba bandar yang dijangka meningkat dalam masa yang terdekat.

“KL-MHP juga boleh membantu dalam mengealpasti tindakan yang lebih tersasar untuk meningkatkan kesedaran dan kesiapsagaan bencana bagi masyarakat di kawasan yang terdedah kepada banjir dan tanah runtuh bagi mengurangkan kerugian dan kerosakan harta benda dan aset fizikal di bandar,” jelasnya.

Menurutnya, Malaysia amat terkesan dengan pelbagai bencana alam yang berkait rapat dengan perubahan iklim seperti banjir, tanah runtuh, angin kencang, haba bandar dan pencemaran udara.

“Kesan daripada bencana ini akan paling ketara dalam kawasan bandar.

“Justeru, sistem dibangunkan bagi pengurusan risiko bencana yang terbaik dengan mengumpulkan kepakaran pelbagai disiplin serta kerjasama dari erat di antara universiti, agensi kerajaan dan sektor swasta.

“Dengan adanya penyelidikan yang berterusan, keupayaan MHP dapat dipertingkatkan untuk menyediakan ramalan untuk lebih jenis bahaya iklim yang dijangka dengan perubahan iklim, contohnya kesan peningkatan paras laut di bandaraya tepi pantai,” katanya.

Dr. Joy Jacqueline berkata, ketepatan ramalan cuaca dan bencana oleh KL-MHP adalah konsisten dan melebihi 90 peratus bagi banjir dan banjir kilat.

Sementara itu, ketepatan bagi ramalan tanah runtuh pula adalah melebihi 95 peratus.