UKM Bantu Remaja Berdikari Dan Berfikiran Maju
Oleh Saiful Bahri kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi
KUALA LUMPUR, 21 Mei 2015 – Permata dan Pusat Komuniti Permata Perkasa telah memberi manfaat kepada lebih daripada 3,000 remaja supaya menjadi berdikari dan berfikiran maju.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Program Permata, berkata mereka dapat memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat.
Pendekatan seperti itu dapat membantu menjadikan remaja bermasalah ke remaja produktif, kata Rosmah dalam ucapannya ketika merasmikan Pusat Komuniti Permata Perkasa Remaja di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak Jaya , di sini hari ini.
Pusat Komuniti Permata Perkasa, projek perintis di bawah progam Permata dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan pelbagai aktiviti berbentuk kemahiran asas seperti kelas vokal dan muzik, fotografi, membuat dan menghias kek; solekan dan andaman.
Beliau berkata strategi itu adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk melahirkan remaja berfikiran bebas yang mampu membantu diri sendiri dan orang lain di kawasan kejiranan mereka.
Menurutnya 565 remaja secara sukarela menghadiri kelas-kelas kemahiran asas di pusat-pusat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Sri Pantai dan Pantai Ria, Pantai Dalam, apabila mereka telah dibuka pada tahun 2010.
“Dalam tempoh lima tahun, 3242 remaja dan belia telah mendapat manfaat daripada kelas ini,” katanya.
Rosmah menjelaskan rancangan tersebut berjaya kerana ia telah dapat mendorong remaja membuka perniagaan sendiri secara kecil-kecilan termasuk menjadi jurufoto sambilan serta memberi khidmat solekan dan andaman.
Beliau juga berbangga kerana Permata mendapat kerjasama Perbadanan PR1MA untuk menubuhkan pusat komuniti seumpama itu dan berharap ia dapat dibangunkan di kawasan-kawasan perumahan PR1MA yang akan dibina kelak.
Aktiviti terkini diperkenalkan di pusat-pusat komuniti adalah kelas bahasa Inggeris, yang dikendalikan oleh Permata Berinteraksi dan Majlis British atas inisiatif anak Rosmah, Nooryana Najwa Najib.
Selain itu, pusat berkenaan turut mengendalikan ‘Homework Club’ yang memberi bimbingan akademik kepada pelajar peringkat menengah untuk menyiapkan kerja sekolah setiap hari dengan kerjasama penuntut UKM.
Pusat Komuniti Permata Perkasa di Desa Rejang mula beroperasi pada bulan Oktober tahun lepas dengan penyertaan 200 remaja.
Majlis hari ini turut dihadiri oleh Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari, dan Nooryana Najwa.