UKM-BASF Jalin Kerjasama Banteras Nyamuk Aedes
Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim
BANGI, 5 Mac 2019 – Syarikat kimia terkemuka dunia, BASF Malaysia Sdn. Bhd. bekerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha membanteras dan memerangi denggi di Malaysia menerusi Program ‘Banteras Aedes Bersama BASF’.
Kerjasama itu terjalin melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah dan Pengarah Urusan BASF (Malaysia) merangkap Ketua Bahagian Perniagaan Malaysia – Singapura, Goh Eng Leong.
MoA itu menjadi titik permulaan kedua-kedua organisasi menyalurkan komitmen mereka dalam meningkatkan kesedaran orang ramai dan menggalakkan langkah positif untuk mencegah denggi.
Menerusi kerjasama tersebut, BASF dan UKM akan bersama-sama menghasilkan bahan pendidikan awam yang memberi maklumat mengenai amalan pencegahan yang disarankan, termasuklah penggunaan larvisid untuk menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Prof Dato’ Dr Imran Ho melahirkan keyakinan MoA tersebut akan memberi hasil positif kerana ia melibatkan interaksi terus bersama orang ramai dalam menyebarkan maklumat tentang kepentingan memerangi denggi.
“Saya berharap kolaborasi antara UKM dan BASF akan dapat mendidik masyarakat untuk lebih peka bagi membanteras lokasi pembiakan nyamuk aedes dengan teknik yang terkehadapan.
Kita yakin kerjasama dalam bidang akademik, perkhidmatan klinikal dan penyelidikan akan membawa hasil yang membanggakan,” katanya.
Sementara itu, Goh Eng Leong berharap kerjasama BASF dan UKM dapat mencegah dan mengurangkan penyakit denggi dengan memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk aedes selain meningkatkan kesedaran masyarakat awam.
“BASF berbesar hati dapat bekerjasama dengan UKM merealisasikan komitmen kami dalam menyumbang kepada kesihatan awam melalui program ini.
Kami yakin program ini akan menunjukkan keberkesanan usaha bersama dalam mencegah pembiakan nyamuk sekaligus mengurangkan penyakit denggi,” katanya.
Kerjasama MoA ini melibatkan Fakulti Sains Kesihatan (FSK) menerusi pelajar Program Sains Bioperubatan FSK turut terlibat dalam menjayakan Pilot Projek itu di beberapa tempat sekitar Presint 9 Putrajaya, Pangsapuri Damansara Damai, Kepong dan Pangsapuri Fasa 6 Bandar Tasik Kesuma, Semenyih.
Jelajah program yang pertama akan berlangsung pada April ini dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala dua lagi aktiviti jelajah akan dianjurkan pada separuh kedua tahun ini.
Hadir sama Dekan FSK, Prof Dr Bariah Mohd. Ali dan Pengurus Perniagaan Tempatan BASF, Kevin Cheong.