UKM Bekerjasama Dengan AGA Zon Untuk Penyelidikan Data Besar
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman
BANGI, 16 Februari 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kumpulan syarikat penyedia penyelesaian perisian AGA Zon Sendirian Berhad akan bergabung tenaga untuk menambah baik penyampaian sistem penyimpanan data, terutamanya pengurusan maklumat yang dikenali sebagai ‘Big Data’ atau Data Besar di UKM.
Suatu memorandum persefahaman (MoU) telah di meterai di sini hari ini membolehkan Institut Visual Informatik (IVI) UKM bekerjasama dengan AGA Zon bagi penyelidikan set data yang amat besar dan rumit hingga sukar untuk diproses menggunakan aplikasi pemprosesan data biasa.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah menanda tandatanganinya untuk UKM manakala pengarah AGA Zon Datuk Hj Khan bin Mohd Akram Khan mewakili syarikatnya.
Prof Imran berkata UKM dan AGA Zon akan bekerjasama untuk menangani isu-isu yang semakin rumit dalam teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Teras utama MoU itu adalah bagi membolehkan kedua badan itu menjalankan penyelidikan di peringkat global dan tempatan yang berkaitan dengan data besar dan analisis data besar untuk meningkatkan ekonomi negara.
Beliau berkata UKM dan AGA Zon juga akan bekerjasama untuk mewujudkan paten Pembekal Internet (IP) berdasarkan penyelidikan meluas oleh calon-calon Sarjana dan PhD di UKM.
Prof Imran berkata ‘Big Data’ adalah satu istilah yang digunakan untuk menggambarkan perkembangan pesat kedua-dua data berstruktur dan tidak berstruktur yang boleh menjadi lebih penting untuk perniagaan dan masyarakat dunia seperti terdapat pada beberapa laman sesawang sejak beberapa dekad lalu.
Kini data tidak lagi diukur mengikut kaedah Gigabyte sahaja tetapi sudah menempoh ukuran Tera, Peta, Exa dan Zetabyte bagi membongkar corak tersembunyi dan korelasi yang tidak diketahui, serta maklumat lain yang berguna, kata Prof Imran.
Data Besar boleh digunakan untuk tugas-tugas yang sangat rumit yang menggunakan banyak korelasi seperti analisis ramalan cuaca, genomik dan lalulintas bandar raya.
Pengarah IVI, Profesor Datuk Dr Halimah Badioze Zaman berkata, berdasarkan pendapatan per kapita, Malaysia kini sudah berada di landasan tepat untuk menjadi sebuah negara maju tetapi pembangunan ICT masih di tahap sederhana jika dibandingkan dengan negara-negara maju.
“Kita mesti bergerak dengan lebih pantas seperti rakan negara timur lain khususnya Taiwan, Jepun dan Korea.
“Sumbangan ICT kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hanya 10.7 peratus berbanding dengan Taiwan, Jepun atau Korea Selatan, yang sudah mencapai antara 25 hingga 30 peratus,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian itu.