UKM Bekerjasama Dengan SWCorp Laksanakan Inovasi Pelupusan Sisa Pepejal

UKM and SWCorp To Collaborate In Solid Waste DisposalOleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Mac 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan bekerjasama dengan syarikat pelupusan sisa pepejal Solid Waste Corporation (SWCorp) untuk menjalankan penyelidikan serta menghasilkan inovasi baharu berkaitan sisa pepejal serta pembangunan teknologi baharu untuk merawat dan melupus sisa pepejal.

Suatu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Abd Rahim Bin Md Noor.

Acara itu dilangsungkan sempena Forum Pembudayaan Masyarakat untuk berusaha melupuskan sisa secara Lestari.

Pengarah Institut Alam Sekitar Dan Pembangunan (LESTARI) UKM Prof Mohd Raihan Taha dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutuf (Teknikal) SWCorp Ir Hj Sanusi Awi menandatanganinya sebagai saksi.

Kedua pihak bersetuju melaksanakan program pembangunan sumber manusia bagi melahirkan tenaga mahir dalam usaha meningkatkan minda, kesedaran serta penglibatan masyarakat secara menyeluruh dalam usaha menentukan kelestarian alam sekitar.

Prof Mazlin berkata kerjasama tersebut merupakan jalinan antara industri, para penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mensejahterakan masyarakat dan alam sekitar melalui pengurusan sisa lestari dan pepejal dengan bijak.

Beliau menyatakan perlunya wujud perubahan tingkahlaku orang ramai dan masyarakat terhadap amalan pengurusan sisa pepejal dengan baik dengan memberi contoh beberapa negara maju seperti Jepun dan Singapura yang telah mengamalkan pengurusan sisa pepejal dengan bijak.

Katanya aspek teknologi bukan hal yang paling utama tetapi perlu juga ditinjau dari sudut alam.

Prof Mazlin berkata sektor swasta dan industri harus digerakkan tanpa terlalu bergantung kepada kerajaan ataupun NGO alam sekitar.

Abd Rahim berkata antara cabaran yang amat penting dalam pengurusan sisa di Malaysia adalah sikap masyarakat yang kurang peka dan prihatin terhadap kebersihan khususnya di persekitaran.

Suatu pendekatan strategik dan berkesan akan digunakan untuk  mentransformasikan minda masyarakat melalui kaedah dikenali sebagai C4E (Communicate, Educate, Engage, Empower and Enforcement atau Komunikasi, Pendidikan, Penglibatan, Pemerkasaan dan Penguatkuasaan).

“Seiring dengan aspirasi untuk menjadikan Malaysia negara bersih, indah dan sejahtera menjelang tahun 2020, semua elemen masyarakat dan kerajaan perlu bekerjasama,” kata Abd Rahim.

Beliau juga menerangkan bahawa SWCotp berhasrat mengadakan hubungan kerjasama dengan semua Universiti dan akan mewujudkan green campus, tambah beliau.
ukmnewsportal-bm