UKM bekerjasama dengan USIM dan KUIS bangunkan Model P&P Al-Quran Golongan OKU
Oleh Asmahanim Amir
Foto Ihsan dari USIM
NILAI, 7 Februari 2022 – Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalin kerjasama dengan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) bagi membangunkan model pengajaran dan pembelajaran (P&P) Al-Quran untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Model yang bakal dilaksanakan melalui projek Geran Konsortium Kecemerlangan Penyelidikan (KKP) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) itu bertajuk Emansipasi Pengajaran dan pembelajaran Al-Quran bagi OKU.
Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Norazah Mohd Nordin berkata selaras dengan dasar universiti inklusif OKU Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), UKM komited untuk memperkukuhkan hak golongan itu dengan aspirasi universiti ke arah mencapai kampus inklusif OKU.
“Dalam mewujudkan warga prihatin OKU terhadap kecemerlangan akademik dan kerjaya, ia amat bertepatan dengan projek KKP ini.
“Saya melihat keperluan akademik untuk warga OKU semakin hari semakin dititiberatkan oleh semua pihak. Namun, dalam masa yang sama keperluan dari aspek spiritual atau agama tidak boleh diabaikan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara UKM, USIM dan KUIS di sini.
Beliau berkata golongan OKU perlu diberikan pendedahan terhadap ilmu agama seperti solat, puasa, membaca Al-Quran dan lain-lain mengikut kadar kemampuan mereka.
“Pengajaran Al-Quran adalah perkara penting yang perlu ditekankan dalam usaha untuk membantu golongan OKU belajar Al-Quran dengan baik. Walau bagaimanapun, dalam pengajaran dan pembelajaran Al-Quran kepada OKU, sememangnya memerlukan kaedah, teknik dan pendekatan yang berbeza, malah kita juga memerlukan model pendidikan Al-Quran yang khusus yang ditumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran.
“Saya berasa bangga dan berterima kasih kerana terdapat warga penyelidik di universiti kami terlibat dalam membangunkan model ini, dan mendapat kerjasama penyelidik dari USIM dan KUIS.
“Usaha ini perlulah dilaksanakan sebaik-baiknya sehingga ke akar umbi supaya suatu hari nanti golongan OKU di seluruh Malaysia, malahan di seluruh dunia mendapat hak pendidikan Al-Quran yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berharap agar UKM, USIM dan KUIS menjadi sebuah insititusi rujukan dalam pendidikan Al-Quran dan agama kepada golongan OKU.
“Tahniah kepada semua penyelidik khususnya kepada Dr. Hafizhah Zulkifli, Dr. Syar Meeze Mohd Rashid, Dr. Suziyani Mohamed dan Prof. Madya Dr. Hasnah Toran serta penyelidik daripada USIM dan KUIS. Semoga usaha penyelidikan ini berjalan dengan lancar serta mendapat rahmat keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.
Pemeteraian MoA itu telah ditandatangi oleh Prof. Dato’ Dr. Norazah, Prof. Dr Mohd Radhi Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademi dan Antarabangsa USIM dan Prof Madya Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah, Rektor KUIS.