UKM Berduka dengan Pemergian Allahyarham Tun Ahmad Sarji


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

Yang Amat Berbahagia Tun Ahmad Sarji…

Sosok birokrat unggul, pemimpin korporat ulung, tokoh pengukuhan syiar Islam, peneraju sukan tersanjung dan budayawan yang mencintai warisan bangsa dan tanahair telah kembali ke rahmatullah awal pagi ini.

Pengabdian khidmatnya pada negara menjangkau 55 tahun, 35 tahun dalam pentadbiran awam dan lebih 20 tahun menabur jasa dalam sektor korporat, sukan dan gerakan massa.

Tun, seorang tokoh besar negara dan merupakan Pro-Canselor UKM yang telah menabur jasa di universiti ini selama 15 tahun sentiasa terpahat di hati sanubari seluruh warga UKM.

Sebagai Pro-Canselor UKM, Tun banyak mambantu dan mendokong perkembangan serta kejayaan UKM hingga kini. Kesudian Tun memberi koleksi peribadinya untuk diabdikan di Anjung Pro-Canselor Tun Ahmad Sarji, Perpustakaan Tun Seri Lanang amat dihargai. Mercu tanda Tun yang menyimpan ribuan naskhah buku dan dokumen adalah sangat bernilai dan bersejarah kepada UKM.

Sebagai seorang tokoh besar negara, koleksi Tun Ahmad Sarji bukan sekadar untuk tatapan semata-mata, tetapi koleksi ini merupakan sejarah kepada negara yang seharusnya dihargai. Pelbagai penyelidikan boleh dibuat dengan merujuk koleksi ini yang mengandungi lima bidang utama iaitu pentadbiran awam, pentadbiran Islam, korporat, sukan dan kesenian.

Menurut Tun, UKM adalah sebuah universiti yang amat menghargai warisan, sebab itulah beliau memilih UKM untuk menempatkan koleksinya. UKM berasa sangat bertuah di atas kepercayaan yang diberikan.

Tun Ahmad Sarji yang juga merupakan Yang Dipertua Persatuan Kriket Melayu Malaysia turut menjadi pencetus dalam penubuhan Oval Kriket UKM-YSD bertaraf dunia. Impian UKM untuk memiliki oval kriket telah direalisasikan bersama Yayasan Sime Darby. Tun mahu melahirkan ramai bakat pelapis kriket berkaliber dan beliau mahu UKM memanfaatkan peluang tersebut dengan memperkukuhkan jenama kriket UKM.

Bagi UKM, kami berasa amat tersanjung, kerana Tun Ahmad Sarji adalah salah seorang Pro-Canselor universiti ini. Kami merasai kasih sayang Tun kepada universiti ini. Terima kasih setingginya, kerana Tunlah yang “pandai mengunci dengan budi”. Tun dengan UKM, bagai lagu dengan irama, terpisah tiada, dan terus berjiwa.

Tun Ahmad Sarji…
Jasamu terlalu besar buat UKM dan negara. Pemergianmu ditangisi. Semoga roh Allahyarham Tun Ahmad Sarji ditempatkan bersama roh orang-orang beriman. Damailah di sana…

Al-fatihah….